Kawal pendaftaran syarikat elak ketirisan subsidi BUDI95

Kawal pendaftaran syarikat elak ketirisan subsidi BUDI95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa melaksanakan kajian menyeluruh bagi mengawal pendaftaran syarikat penyedia perkhidmatan serta pemandu e-hailing dan p-hailing baharu bagi memastikan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, langkah itu penting supaya tiada pihak mengambil kesempatan mendaftar sebagai penggiat industri semata-mata untuk menuntut subsidi tanpa memenuhi syarat ditetapkan.

Katanya, langkah tersebut juga dapat mengawal lambakan penghantar dan pemandu yang kini memberi kesan terhadap pendapatan mereka di lapa­ngan.

“Kumpulan penerima dari sektor e-hailing mestilah memenuhi syarat mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu memiliki lesen pemandu yang sah, lesen vokasional PSV, insurans e-hailing yang sah serta EVP yang sah.

“Langkah kawalan berkenaan akan memastikan hanya pihak yang layak menerima subsidi sekali gus mengelakkan ketirisan termasuk tuntutan berganda melalui pelbagai syarikat yang akhirnya memberi impak kepada kewangan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini akhbar ini melaporkan, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju memberikan pemandu e-hailing sepenuh masa had kelayakan tambahan subsidi BUDI95 bermula 15 Oktober ini.

MOF dalam kenyataan memaklumkan pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu, sebaliknya kerajaan akan berurusan terus dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi permohonan secara berkelompok.

Dalam pada itu, Abdul Hakim turut menyarankan kerajaan memperluaskan pelaksanaan inisiatif BUDI95 kepada sektor p-hailing bagi meringankan beban kos petrol yang ditanggung penghantar setiap hari.

Katanya, kuota petrol BUDI95 sedia ada tidak mencerminkan realiti kos operasi semasa, memandangkan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing lazimnya berulang alik dari lokasi penerimaan tempahan ke lokasi penurunan.

“Malah, ada pemandu e-hai­ling menerima tugasan rentas negeri dan terpaksa menanggung kos perjalanan pulang tanpa penumpang. Situasi serupa dialami penghantar barangan, kurier dan dokumen jarak jauh.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan meneliti semula jumlah kuota petrol demi menjaga kebajikan serta kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing di seluruh Malaysia,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×