KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka memberi tumpuan kepada isu keselamatan murid di sekolah, insiden lubang benam di Jalan Masjid India serta pelaksanaan langkah jangka panjang menyelesaikan masalah nafkah tertunggak.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, akan meminta Perdana Menteri menjelaskan langkah kerajaan memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti setempat dan agensi keselamatan bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan murid di seluruh negara sentiasa terjamin.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Yusuf Abd. Wahab, dijangka menyoal Perdana Menteri berhubung status terkini laporan insiden lubang benam yang berlaku di Jalan Masjid India pada Ogos tahun lalu yang menimbulkan kebimbangan orang awam terhadap keselamatan struktur kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun, Dr. Abd. Ghani Ahmad, akan meminta penjelasan mengenai langkah jangka panjang Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi memastikan bantuan kewangan sementara atau pendahuluan nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak dapat disalurkan dengan lebih berkesan tanpa kelewatan.
Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan akan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di peringkat dasar yang akan berlangsung selama lapan hari sehingga 28 Oktober ini.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. – UTUSAN










