KYIV: Presiden Volodymyr Zelensky, mendakwa hampir 60 peratus senjata yang digunakan tentera Ukraine dihasilkan di dalam negara, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkannya dua bulan lalu.
“Sepanjang perang ini, Ukraine mencapai tahap di mana hampir 60 peratus senjata yang berada di tangan tentera adalah buatan tempatan,” katanya dalam ucapan video, kelmarin.
Zelensky menegaskan senjata berkenaan mempunyai keupayaan tinggi dengan pelbagai ciri moden, seiring usaha kerajaan meningkatkan kapasiti industri pertahanan negara.
Beliau turut memaklumkan mengenai projek bersama dengan Denmark bagi memperluaskan pengeluaran senjata melalui kerjasama industri pertahanan.
Julai lalu, Zelensky menggesa kerajaan baharu yang dibentuknya untuk meningkatkan pengeluaran senjata tempatan melebihi 50 peratus.
Pada waktu itu, beliau mendedahkan hampir separuh kelengkapan yang digunakan di medan pertempuran sudah pun buatan Ukraine, tahap tertinggi sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 1991.
Dalam pada itu, Kiev memberi tumpuan khusus kepada penghasilan dron dan sistem pertahanan udara sebagai tindak balas terhadap serangan roket serta dron Russia yang berterusan ke atas bandar-bandar Ukraine.
Pegawai pertahanan juga menekankan pembangunan dron pemintas sebagai kaedah efektif dan lebih menjimatkan bagi menghadapi ancaman serangan udara Moscow.- AGENSI










