WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tetap mempertahankan Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr. walaupun berdepan tekanan Kongres, kebimbangan kesihatan awam serta risiko politik akibat perubahan dasar vaksin secara besar-besaran di negara itu.
Sejak mengetuai jabatan kesihatan, Kennedy bertindak memotong peruntukan penyelidikan vaksin, mengehadkan akses suntikan COVID-19 dan menyingkirkan Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), agensi yang menentukan garis panduan vaksin di AS.
Pakar kesihatan memberi amaran langkah itu bakal menjejaskan kesejahteraan rakyat dan boleh membawa padah politik sekiranya berlaku wabak penyakit berjangkit ekoran penurunan kadar vaksinasi namun Trump terus menyatakan sokongan penuh terhadap Kennedy.
“Dia seorang yang baik, berniat baik dan ada pandangan yang agak berbeza. Saya sukakan kelainan itu,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih selepas Kennedy disoal siasat anggota Kongres, Khamis lalu.
Menurut pegawai Rumah Putih, Trump dan Kennedy berhubung secara berkala walaupun mereka tidak sehaluan dengan semua pandangan, beliau tetap mempercayai pertimbangannya.
Kennedy diberikan jawatan itu selepas gerakan Make America Healthy Again yang diinspirasikan daripadanya membantu mengukuhkan sokongan kepada Trump dalam pilihan raya 2024.
Trump sebelum ini mengakui pencapaian program ‘Operation Warp Speed’ yang mempercepat pembangunan vaksin COVID-19 semasa penggal pertamanya, namun beliau jarang menonjolkan kejayaan itu kerana sedar ramai penyokong Republikan kurang percaya kepada vaksin.
Kennedy menerima kecaman hebat daripada ahli Kongres dari kedua-dua parti dalam satu sesi pendengaran yang kecoh Khamis lalu.
Seorang senator Republikan, John Barrasso, turut menegaskan 89 peratus pengundi AS termasuk 81 peratus penyokong Trump mahu cadangan vaksin datang daripada doktor dan pakar kesihatan bertauliah, bukan ahli politik.
Walaupun dikritik hebat, Trump masih melihat Kennedy sebagai sekutu politik penting manakala Naib Presiden JD Vance serta beberapa tokoh Republikan lain turut mempertahankan Kennedy di media sosial namun, pakar kesihatan awam memberi amaran kerjasama politik boleh membawa kesan buruk.
“Mereka membina perkahwinan atas dasar kepentingan, dan kini ia menjadi satu hubungan yang bakal membawa akibat luar biasa terhadap kesihatan awam, perkhidmatan perubatan serta penyelidikan bioperubatan,” kata Gregg Gonsalves, profesor epidemiologi di Yale School of Public Health. –AGENSI










