HONG KONG: Persediaan awal menyelamatkan Hong Kong daripada kemusnahan dan kerosakan teruk ketika menghadapi antara taufan paling kuat dalam sejarah bandar itu.
Taufan Super Ragasa membawa hujan lebat, angin kencang dan ombak bergelora, namun meninggalkan kerosakan jauh lebih rendah berbanding taufan sama pada 2018.
Pada tahun itu, Taufan Super Mangkhut mencederakan 458 orang, satu daripada jumlah korban terburuk di bandar itu sejak rekod bermula pada 1960.
Bagi Ragasa, hospital di Hong Kong merawat lebih 100 orang cedera setakat Rabu.
Taufan tersebut mencapai kelajuan angin sehingga 195 kilometer sejam (km/j) ketika berada paling hampir dengan Hong Kong, lebih tinggi berbanding Mangkhut yang mencatat 175 km/j.
Pemerhati berkata, kerosakan yang sedikit selepas taufan Ragasa berlaku kerana pihak berkuasa membuat persiapan lebih baik, dengan institusi dan perniagaan mengambil langkah awal, manakala penduduk turut mematuhi amaran yang dikeluarkan.
“Kekuatan Ragasa hampir sama dengan Mangkhut, tetapi kali ini orang ramai lebih bersedia menghadapi taufan. Penduduk juga sudah belajar daripada pengalaman 2018,” kata Profesor Johnny Chan dari Pusat Penyelidikan Taufan Asia-Pasifik kepada The Straits Times.
Amaran kepada orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi Ragasa dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Hong Kong seawal minggu lalu.
Pihak berkuasa menghantar pasukan ke seluruh bandar untuk membersihkan longkang daripada serpihan, mengukuhkan cerun mudah runtuh, memasang pintu banjir dan membina tembok beg pasir di kawasan rendah yang berisiko banjir.
Taufan Mangkhut memecahkan cermin di ratusan rumah dan kedai, merosakkan kira-kira 700 kenderaan, jalan serta bangunan, selain memutuskan bekalan elektrik kepada lebih 40,000 rumah dan menumbangkan 60,000 pokok
Manakala, pihak berkuasa menerima kira-kira 1,200 laporan pokok tumbang, empat tanah runtuh dan 22 kejadian banjir setakat Rabu.
Negara jiran turut terjejas teruk apabila Ragasa meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa ketika melintasi Taiwan dan Filipina.










