CANBERRA: Kerajaan Australia tidak akan mewajibkan syarikat gergasi media sosial mengesahkan umur semua pengguna di bawah undang-undang baharu negara itu yang melarang individu bawah 16 tahun menggunakan platform tersebut.
Sebaliknya, platform seperti Facebook, Snapchat, TikTok dan YouTube diwajibkan mengambil langkah munasabah bagi menghalang pengguna bawah umur mengakses aplikasi berkenaan, kata kerajaan dalam kenyataan semalam.
Australia dianggap peneraju antarabangsa dalam usaha mengekang bahaya internet, namun undang-undang sedia ada tidak memperincikan kaedah penguatkuasaan larangan itu hingga menimbulkan kebimbangan pakar ia sekadar simbolik dan sukar dilaksanakan.
Syarikat media sosial pula menyifatkan undang-undang tersebut sebagai kabur, bermasalah dan tergesa-gesa.
Menteri Komunikasi, Anika Wells berkata, syarikat media sosial perlu mengambil tindakan berlapis untuk mengesan serta menyahaktif akaun pengguna bawah umur.
“Kita tidak boleh mengawal lautan, tetapi kita boleh mengawal jerung. Hari ini kita jelaskan kepada dunia bagaimana ia boleh dilakukan. Tiada alasan untuk platform media sosial gagal memenuhi tanggungjawab di bawah undang-undang baharu ini,” katanya.
Garis panduan pengawalseliaan menetapkan platform perlu menggunakan pendekatan berlapis dalam pemeriksaan umur pengguna.
Namun, Ketua Suruhanjaya eSafety Australia, Julie Inman Grant mengaku tiada penyelesaian tunggal dalam menguatkuasakan undang-undang pertama seumpamanya di dunia.
“Dengan pendekatan berlapis, platform boleh menguruskan risiko daripada sebarang kesilapan dalam anggaran atau inferens umur. Platform tidak perlu mengesahkan umur setiap pengguna Australia untuk mematuhi peraturan,” katanya.
Suruhanjaya eSafety berkuasa mengenakan denda sehingga A$49.5 juta (RM208 juta) terhadap syarikat media sosial yang gagal mematuhi peraturan.
Minggu ini, syarikat permainan Roblox Corp bersetuju mengambil langkah tambahan untuk mengurangkan risiko pengantunan kanak-kanak oleh golongan dewasa di platformnya di Australia.– AFP











