Pentadbiran Trump buru pendatang di Massachusetts melalui Patriot 2.0

Pentadbiran Trump buru pendatang di Massachusetts melalui Patriot 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyasarkan negeri Massachusetts sebagai lokasi terbaharu untuk operasi penahanan serta pengusiran pendatang asing.

Menurut laporan NBC News memetik pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), operasi tersebut dinamakan Patriot 2.0, sempena operasi serupa pada Mei lalu yang menyaksikan 1,500 orang ditahan di negeri berkenaan.

Jurucakap DHS bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika diminta memberi kenyataan.

Akhbar New York Times pula melaporkan, operasi tersebut dijangka berlangsung selama beberapa minggu dan memberi tumpuan khusus kepada pendatang yang dibebaskan daripada tahanan, walaupun ejen Imigresen dan Kastam (ICE) cuba menahan mereka di penjara tempatan.

Belum dapat dipastikan jumlah pegawai persekutuan yang terbabit dalam operasi kali ini, namun ia dilaksanakan serentak ketika bandar Chicago turut bersiap sedia menghadapi peningkatan operasi pengusiran oleh pentadbiran Trump.

Sementara itu, Stesen NBC10 Boston melaporkan jurucakap DHS mengecam dasar tempat perlindungan yang digerakkan Datuk Bandar Boston, Michelle Wu.

“Dasar tempat perlindungan seperti yang diperjuangkan Datuk Bandar Wu bukan sahaja menarik serta melindungi penjenayah, malah meletakkan ancaman keselamatan awam di atas kepentingan rakyat AS yang mematuhi undang-undang.

“ICE kini menahan pesalah seksual, pedofil, pembunuh, pengedar dadah dan kumpulan samseng yang dibebaskan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelas kenyataan itu.

Ketegangan antara Wu dan pentadbiran Trump semakin meningkat sejak Mac lalu apabila beliau memberi keterangan di Kongres bersama tiga lagi Datuk Bandar daripada Parti Demokrat untuk mempertahankan undang-undang tempat perlindungan, yang mengehadkan kerjasama penguat kuasa negeri serta tempatan dengan pihak persekutuan dalam isu imigresen.

Berikutan ancaman tindakan persekutuan itu, Wu memaklumkan minggu lalu pentadbirannya sedang membuat persiapan menghadapi kemungkinan penempatan tentera Pengawal Kebangsaan.

Wu turut menegaskan pihaknya sedang meneliti preseden undang-undang berkaitan disamping bekerjasama rapat dengan masyarakat setempat bagi memastikan mereka mengetahui perkembangan semasa serta menyedari tindakan tersebut tidak diperlukan, tidak diingini dan tidak sah dari sudut perundangan. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×