Penduduk Gaza tiada pilihan, mahu pindah atau mati

Penduduk Gaza tiada pilihan, mahu pindah atau mati

RAKYAT Palestin membawa barangan peribadi mereka menaiki kenderaan ketika berpindah ke arah selatan dari Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ribuan penduduk Gaza sekali lagi memenuhi jalan raya pada Sabtu, meninggalkan kediaman masing-masing menuju ke kawasan tengah dan selatan wilayah, berikutan amaran terbaharu Israel mengenai peluasan operasi darat serta serangan ke atas menara kediaman.

Sebahagian keluarga bergerak dengan kereta, ada yang menaiki kereta keldai, manakala ramai berjalan kaki hanya dengan membawa beg dan selimut sekaligus mengulangi trauma perpindahan paksa yang sudah berulang kali dialami sejak perang bermula, lapor Anadolu.

Abu Mohammed al-Dawoudi, 47, penduduk Sheikh Radwan, terpaksa keluar bersama isteri dan tujuh anak selepas kawasan kejiranannya terus dibedil.

“Kami sudah tidak rasa selamat di mana-mana. Setiap jam ada letupan, ada menara kediaman yang runtuh menimpa penghuni di dalamnya. Pilihannya hanya lari atau mati. Tentera Israel tidak mengampuni sesiapa,” katanya.

Pemandangan menyayat hati kelihatan apabila wanita mendakap anak kecil, warga emas berjalan bertongkat, manakala kanak-kanak lelaki menarik beg pakaian sambil pesawat dron berlegar di udara namun ada keluarga yang nekad untuk terus tinggal, letih dengan siri perpindahan tanpa henti.

Tentera Israel mengumumkan peluasan serangan darat di bawah operasi Gideon’s Chariots II dengan tujuan menawan Gaza City dan penduduk diarahkan meninggalkan kawasan tanpa pemeriksaan.

Israel turut menetapkan al-Mawasi, di barat Khan Younis, sebagai zon kemanusiaan dengan alasan terdapat hospital medan dan pusat bantuan namun penduduk mendakwa kawasan itu juga dibom berulang kali sehingga meragut nyawa orang awam.

Pertubuhan bantuan antarabangsa pula memberi amaran al-Mawasi tidak mempunyai bekalan air bersih, makanan, ubat-ubatan mahupun hospital yang berfungsi manakala keluarga hanya bergantung kepada penghantaran bantuan yang jarang tiba.

Bagi ramai penduduk Gaza, arahan berpindah itu hanyalah satu kitaran kejam di mana mereka dipaksa keluar dari kawasan tidak selamat, digiring ke zon selamat, sebelum tempat itu turut menjadi sasaran bom.

Perang Israel di Gaza kini memasuki hari ke-700 pada Jumaat dengan angka korban mencecah sekurang-kurangnya 64,300 rakyat Palestin dan kempen ketenteraan itu memusnahkan hampir seluruh wilayah itu dan menolak penduduk ke ambang kebuluran.

November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel juga kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan terhadap Gaza.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN