TUNIS: Bot bantuan dari Tunisia menuju Gaza menangguhkan jadual pelayarannya daripada Ahad kepada Rabu ini, menurut penganjur.
Global Sumud Flotilla memaklumkan, penangguhan itu berpunca daripada faktor teknikal dan logistik, termasuk kelewatan ketibaan armada dari Sepanyol, keadaan cuaca dan laut serta isu berkaitan keadaan kapal.
Dalam kenyataan yang disiarkan melalui video di platform media sosial X, penganjur menjelaskan kapal terbabit akan secara rasmi berlepas dari Pelabuhan Sidi Bou Said di ibu negara Tunis pada 10 September, dengan penyelarasan bersama peserta lain.
Hampir 20 kapal berlepas dari Barcelona akhir bulan lalu sebagai sebahagian daripada flotila tersebut, disusuli satu lagi konvoi dari Genoa, Itali, awal minggu ini.
Flotila ketiga yang dijadualkan berlayar dari Tunisia pada Ahad turut ditangguhkan, sebelum meneruskan misi ke Gaza untuk memecahkan kepungan Israel yang semakin menekan wilayah itu.
Misi itu menghimpunkan Gabungan Freedom Flotilla, Global Gaza Movement, Konvoi Sumud dan kumpulan Solidariti Nusantara Malaysia.
22 Ogos lalu, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) melaporkan kebuluran berlaku di utara Gaza dan memberi amaran ia boleh merebak lebih luas apabila sekatan Israel berlanjutan.- ANADOLU











