KUALA LUMPUR: Dunia Islam perlu bersatu serta mengambil pendirian tegas terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia kelihatan tidak berdaya menangani bencana dan penindasan yang dicetuskan Israel bukan sahaja di Gaza, malah di rantau lain.
“Dunia kini berada dalam keadaan huru-hara, sebuah negara menunjukkan kegilaan dan keangkuhan dengan menimbulkan porak-peranda, bencana dan kekejaman di seluruh rantau, dan dunia kelihatan seperti tidak mampu menanganinya,” katanya berucap pada Majlis Penganugerahan Kewangan Islam Global 2025 (GIFA) di sini, semalam.
Menurut beliau, dunia Islam perlu terus mengambil pendirian tegas menentang pencerobohan, penjajahan serta keangkuhan Israel yang membelakangi undang-undang antarabangsa.
Dalam masa sama, katanya, umat Islam juga perlu memperbaiki kelemahan dalaman termasuk membanteras rasuah, ketidakadilan dan ketidaksamarataan selain memperkukuh ekonomi.
Anwar berkata, kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung kepada retorik politik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemah melalui tindakan yang menegakkan keadilan dan mengangkat martabat rakyat.
Kata beliau, kewangan Islam misalnya bukan sahaja wadah alternatif, malah bukti kemampuan umat Islam untuk bersaing di peringkat antarabangsa dengan menekankan prinsip etika, keadilan dan kesejahteraan sejagat.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menerima Anugerah Kepemimpinan GIFA 2025 sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinannya dalam memperkukuh institusi kewangan Islam di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, Anwar merupakan Perdana Menteri kedua menerima anugerah ini selepas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mesti bersih daripada rasuah dan ketidakadilan bagi menjamin pembangunan ekonomi yang mampan serta beretika.
Anwar berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara berintegriti dan dihormati.
Katanya, asas kemajuan negara mestilah dibina atas sistem yang bersih daripada penyelewengan serta berteraskan keadilan sosial.
“Malaysia mesti terus komited melahirkan masyarakat beretika dan berprinsip bagi memastikan masa depan negara kekal seimbang serta inklusif. Kewangan Islam perlu menjadi mercu tanda keadilan, maruah dan harapan untuk seluruh manusia,” katanya. – UTUSAN










