GAZA: Lebih 7,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun terpaksa dimasukkan ke dalam program pemulihan kekurangan zat makanan akut di klinik yang dikendalikan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) di Gaza dalam tempoh hanya dua minggu bulan lalu.
Menurut data yang didedahkan badan itu, jumlah keseluruhan bagi bulan Ogos sedang dikumpulkan, namun dijangka melebihi 15,000 pesakit baharu, lebih tujuh kali ganda berbanding Februari lalu.
“Bulan lalu, keadaan kebuluran diisytiharkan di Gaza City, kawasan utara wilayah yang musnah itu. Namun bandar-bandar lain di bahagian selatan Gaza juga sedang menyusul dengan pantas.
“Di lapangan, amat jelas rakyat sedang kebuluran. Kebuluran sedang berlaku di Gaza City dan Deir al-Balah serta Khan Younis. Dua bandar di selatan Gaza itu kini tidak jauh ketinggalan,” kata jurucakap UNICEF, Tess Ingram yang berada di Gaza City baru-baru ini.
Ingram berkata, beliau bertemu dengan seorang ibu yang kekurangan zat sehingga tidak mampu menyusukan bayinya yang berusia lapan bulan.
“Dia dan suaminya hanya berkongsi secawan nasi sehari. Keadaannya amat mengerikan,” tambahnya.
TUDUHAN ISRAEL DAN LAPORAN AS
Pegawai Israel menyalahkan PBB kerana gagal mengagihkan bantuan dan berulang kali mendakwa Hamas mencuri sebahagian besar bantuan tersebut, namun laporan dalaman kerajaan AS sendiri menyatakan tuduhan itu tidak benar.
Bulan lalu, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), sebuah badan global yang mengklasifikasi tahap keterukan kekurangan makanan mendapati tiga penanda utama kebuluran sudah dipenuhi di Gaza City dengan kanak-kanak merupakan golongan paling terdedah.
Daripada 2,000 kes pada Februari, pendaftaran di klinik UNICEF bagi kanak-kanak bawah lima tahun dengan kekurangan zat makanan akut meningkat kepada 5,500 pada Mei, tetapi pada Julai jumlah itu mencecah lebih 13,000.
Bilangan kanak-kanak bawah lima tahun yang disaring UNICEF meningkat daripada 82,000 kepada 144,000 dalam tempoh tersebut.
Kemasukan ke hospital bagi kes kekurangan zat makanan akut paling kritikal meningkat daripada 20 orang pada Mac kepada 40 pada Julai, meskipun menurun daripada puncak melebihi 50 penduduk pada Jun.
Kes pesakit luar meningkat daripada 380 orang pada Mac kepada 2,846 pada Julai, termasuk 1,248 di Gaza City.
Agensi-agensi PBB terus berusaha mengatasi cabaran besar logistik, sekatan berterusan Israel serta halangan birokrasi untuk menyalurkan bekalan ke beberapa dapur komuniti dan kedai roti, manakala lori komersial swasta hanya membawa masuk sedikit beras, gula, mi segera dan makanan kering lain.
Menurut Ingram, sayur-sayuran segar amat jarang ditemukan dan harganya mencecah A$50 (RM211.34) sekilogram yang tidak mampu dibayar kebanyakan penduduk.
“Keadaannya masih sama, semangkuk makanan sehari dari dapur komuniti, selalunya kacang dhal atau nasi yang perlu dikongsi seisi keluarga. Tetapi kita tahu ibu bapa akan berlapar demi memastikan anak-anak mereka dapat menjamah makanan yang sedikit itu.
“Tiada zat. Tiada pilihan lain kerana bantuan amat terhad dan pasaran terlalu mahal,” katanya.
SERANGAN BAHARU DI GAZA CITY
Gaza City yang dahulunya antara pusat perdagangan dan kebudayaan paling sibuk, kini menjadi sasaran serangan baharu Israel.
Tentera Israel dilaporkan mengarah penduduk Palestin meninggalkan bandar tersebut menuju ke selatan sebelum serangan dilancarkan, namun tidak memberikan garis masa yang jelas.
Serangan itu berpotensi memindahkan lebih sejuta penduduk yang sudah lemah tidak berdaya akibat hampir dua tahun serangan udara, kekurangan zat makanan dan kini kebuluran.
Ramai daripada mereka juga sudah berpindah berulang kali, dan sebahagian penduduk Gaza City menyatakan mereka sudah tidak mampu melalui penderitaan itu sekali lagi.
Penduduk Gaza juga kini berdepan pilihan mustahil sama ada kekal di rumah sementara di Gaza City dengan risiko serangan atau berpindah ke kawasan pantai yang sesak dan hampir tiada bekalan air, perkhidmatan kesihatan mahupun ruang penempatan.
Di al-Mawasi, kawasan pantai utama yang ditetapkan Israel bagi pelarian Gaza City, ratusan ribu orang sudah berhimpit di atas bukit pasir atau tanah lapang.
Sebidang tanah bersaiz khemah di mana-mana kawasan yang masih lapang berharga kira-kira AS$300 (RM1,268) sebulan dan hampir tiada ruang untuk pendatang baharu.
“Bekalan air tidak mencukupi, khemah dan tempat perlindungan sangat daif, tiada sistem pembuangan sampah yang baik, tiada teduhan dan tiada ruang untuk orang lain. Ia sama sekali tidak sesuai untuk didiami manusia,” kata seorang pekerja bantuan di al-Mawasi.
Walaupun mendapat tentangan dalam kalangan pegawai tinggi tentera, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap bertegas melancarkan serangan baharu ketika gencatan senjata ketika ini dilihat sukar dicapai.
Ahli-ahli tertinggi sayap kanan dalam pentadbiran gabungan Netanyahu mengugut akan menggulingkan pemerintahannya jika Israel membuat sebarang konsesi bagi membebaskan kira-kira 50 tebusan yang masih ditahan di Gaza, di mana kurang 20 dipercayai masih hidup.
Pada Jumaat, tentera Israel mengumumkan akan menyerang pelbagai struktur yang dikenal pasti digunakan Hamas, khususnya bangunan tinggi, kononnya untuk memusnahkan kamera, pusat pemerhatian, kedudukan penembak tepat dan anti-kereta kebal kumpulan pejuang itu.
Minggu lalu, pegawai berkata, Israel akan menghentikan penghantaran bantuan udara ke Gaza City dalam beberapa hari lagi dan mengurangkan bilangan lori bantuan ke utara ketika serangan baharu semakin hampir.-AGENSI










