Kebakaran hutan kembali landa Portugal, Sepanyol

Kebakaran hutan kembali landa Portugal, Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Ratusan anggota bomba dikerahkan untuk memadam kebakaran hutan baharu di Portugal dan Sepanyol semalam, selepas rantau itu dilanda musim panas yang menyaksikan kebakaran dahsyat.

Kebakaran terbesar berlaku di Seia, tengah Portugal, di mana 600 anggota bomba dikerahkan memadam api yang marak akibat angin kencang, memaksa beberapa jalan ditutup, kata agensi perlindungan awam.

Agensi berita Lusa yang memetik jurucakap agensi itu melaporkan, keutamaan adalah untuk melindungi kediaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Polis berkata, pihaknya menahan seorang individu yang disyaki mencetuskan kebakaran tersebut.

Di Sepanyol, pihak berkuasa mengarahkan penduduk kampung Castromil di barat laut untuk berkurung sebagai langkah berjaga-jaga pada Sabtu berikutan kebakaran berhampiran.

Kawasan itu sebelum ini terjejas teruk oleh gelombang kebakaran pada Ogos.

Satu kebakaran di kawasan tersebut kembali marak pada Sabtu akibat angin kencang, menurut sumber di kementerian alam sekitar rantau Castilla dan Leon.

Pada Ahad, Sepanyol menamatkan perintah darurat yang dikuatkuasakan selama beberapa minggu akibat satu gelombang kebakaran hutan terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Empat orang terkorban dan lebih 300,000 hektar tanah hangus terbakar.

Tengah dan utara Portugal turut musnah akibat kebakaran hutan dahsyat pada Ogos yang mengorbankan empat nyawa dan menyebabkan beberapa kecederaan.

Kebakaran di Portugal memusnahkan kira-kira 254,000 hektar tanah, jumlah terburuk sejak 2017, menurut data Institut Kebangsaan bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Hutan.

Portugal mengalami musim panas paling panas tahun ini sejak 1931, menurut agensi meteorologi negara pada Jumaat.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini