Israel semakin bermaharajalela, lancar operasi darat di Gaza City

Israel semakin bermaharajalela, lancar operasi darat di Gaza City

PENDUDUK Palestin mencari mangsa di celah runtuhan Menara al-Ghafari yang musnah akibat bedilan Israel di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ketika negara Arab-Islam bersidang mengecam tindakan Israel terhadap Qatar, rejim Zionis terus bermaharajalela di Gaza dengan melancarkan pengeboman besar-besaran dan memulakan serangan darat ke atas Gaza City.

Kempen tersebut dilancarkan selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, menyokong matlamat Israel untuk memusnahkan Hamas.

Operasi bermula di pinggir Gaza City selepas seminggu serangan udara diperhebat, termasuk tindakan memusnahkan menara-menara tinggi di sekitar bandar itu.

Pelan untuk mengambil alih dan menduduki bandar itu diluluskan pada Ogos lalu, selepas Israel mendakwa lokasi itu merupakan kubu terakhir Hamas.

Seorang pegawai Israel berkata, operasi darat itu akan dijalankan secara berperingkat selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz membuat kenyataan mendakwa ‘Gaza sedang terbakar’

“Tentera Israel sedang menyerang infrastruktur pengganas dengan tangan besi dan berjuang untuk mewujudkan syarat yang diperlukan bagi pembebasan tebusan dan kekalahan Hamas.

“Kami tidak akan berundur dan menyerah sehingga misi ini tercapai,” kata Katz.

Mengikut rancangan asal, operasi darat hanya akan diteruskan selepas kawasan padat penduduk itu dipaksa berpindah, namun sebahagian besar masih kekal ketika serangan dilancarkan semalam.

Serangan darat bermula selepas gelombang baharu serangan udara Israel yang mengakibatkan puluhan mangsa cedera dibawa ke hospital sekitar Gaza City, termasuk Hospital Al-Shifa dan Hospital Baptist.

Video diperoleh CNN menunjukkan beberapa kanak-kanak berlumuran darah tiba di hospital utara Gaza dengan dua orang dewasa dilihat meraung kesedihan di sisi mayat anak-anak mereka yang dibalut kain putih.

Saksi memberitahu AFP mengenai pengeboman tanpa henti ke atas Gaza City, sebahagian besarnya sudah musnah selepas hampir dua tahun serangan Israel sejak Oktober 2023.

GELOMBANG BAHARU SERANGAN

Tindakan itu turut mencetuskan bantahan keluarga tebusan Israel yang berhimpun di luar kediaman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis.

“Pengeboman ke atas Gaza semakin hebat. Orang tersayang kami di Gaza sedang dibom oleh tentera Israel atas arahan Perdana Menteri.

“Kami bimbang ini mungkin malam terakhir mereka. Tebusan yang masih hidup berisiko kehilangan nyawa, manakala yang terkorban pula mungkin lenyap tanpa dikesan,” kata Forum Keluarga Tebusan dan Hilang dalam satu kenyataan.

Ketika ini, masih terdapat 48 tebusan di Gaza, dengan 20 daripadanya dipercayai masih hidup.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio yang mengadakan pertemuan dengan Netanyahu semalam, menyatakan sokongan penuh terhadap operasi tersebut.

Malah, beliau memberi amaran masa semakin suntuk untuk mencari penyelesaian diplomatik .

“Kami fikir masa untuk mencapai perjanjian semakin suntuk. Ia bukan lagi soal bulan, sebaliknya mungkin tinggal hari atau beberapa minggu,” katanya selepas bertemu Netanyahu di Baitulmuqaddis.

Rubio menegaskan AS lebih mengutamakan penyelesaian yang menyaksikan Hamas dilucutkan senjata walaupun menyedari perkara itu sukar dicapai.

Beliau yang kemudian berlepas ke Qatar, menegaskan Washington masih mengharapkan peranan Qatar sebagai pengantara rundingan damai.

“Jika ada negara yang mampu membantu menamatkan konflik ini melalui rundingan, ia adalah Qatar,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump menyatakan Netanyahu tidak akan menyerang Qatar lagi, namun ketika ditanya wartawan, Rubio dan Netanyahu enggan memberi jaminan sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×