Hong Kong batal 500 penerbangan akibat Taufan Ragasa

Hong Kong batal 500 penerbangan akibat Taufan Ragasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Cathay Pacific hari ini mengumumkan lebih 500 penerbangan dijangka dibatalkan apabila Taufan Super Ragasa diramal membadai hab kewangan Asia itu.

Menurut syarikat penerbangan berpangkalan di Hong Kong, semua penerbangan penumpang yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong akan digantung bermula pukul 6 petang esok, sebelum disambung semula pada Khamis.

Ketika ini, Ragasa sedang melintasi Selat Luzon di antara selatan Taiwan dan utara Filipina, dan dijangka melanda Hong Kong serta selatan China pada Selasa.

Perkhidmatan kaji cuaca Filipina melaporkan, kelajuan angin maksimum berterusan di pusat ribut mencecah 215 kilometer sejam dengan tiupan kencang sehingga 265 kilometer sejam ketika bergerak ke arah barat menuju Kepulauan Babuyan.

Jabatan Meteorologi Hong Kong meramalkan bandar itu akan mengalami angin kencang hingga ribut pada Rabu.

“Cuaca dijangka buruk dengan hujan lebat yang kerap dan gelombang ribut,” menurut jabatan itu.

Pegawai bandar berkata, mereka merancang menyusun beg pasir dan memasang penghalang banjir di beberapa perkampungan pantai di bandar itu.

Biro Pendidikan mengumumkan semua sekolah akan ditutup pada Selasa dan Rabu.

Pihak berkuasa hospital bandar pula memaklumkan hospital awam melaksanakan langkah khas bagi memastikan perkhidmatan kecemasan tidak terjejas sepanjang taufan.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×