NEW YORK: Sejak beberapa hari lalu, sebanyak 156 atau 80 peratus daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) secara rasmi mengiktiraf kenegaraan Palestin.
Pengiktirafan kali ini melibatkan beberapa kuasa dunia antaranya United Kingdom, Perancis, Australia dan Portugal manakala terdapat segelintir lagi belum membuat keputusan mengiktiraf Palestin.
Antaranya Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Jerman.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran tindakan menafikan hak kenegaraan Palestin hanya akan menguntungkan golongan ekstremis, selain perlunya kemajuan muktamad ke arah penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik.
“Kenegaraan bagi rakyat Palestin adalah satu hak, bukan ganjaran. Menafikan kenegaraan adalah hadiah buat para ekstremis di mana-mana,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Isu Palestin di Dewan Perhimpunan Agung PBB.
Beliau berkata, konflik berdekad-dekad itu sudah mencapai tahap yang tidak tertanggung dari segi moral, undang-undang dan politik sambil merujuk peningkatan korban awam di Gaza serta ketidakstabilan yang semakin memburuk di Tebing Barat.
Guterres turut menekankan visi yang disokong PBB mengenai dua negara merdeka, berdaulat dan demokratik di mana Israel dan Palestin hidup bersama secara aman dalam sempadan yang selamat serta diiktiraf, berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota bersama.
Acara itu dianjur bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, menandakan usaha antarabangsa paling tersusun dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk menghidupkan semula momentum ke arah rundingan damai.
Guterres sekali lagi menyuarakan kekecewaannya kerana delegasi Palestin termasuk Presiden, Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas dinafikan peluang untuk diwakili sepenuhnya akibat sekatan visa yang dikenakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Tiada apa yang boleh dijadikan alasan untuk hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin atau sebarang bentuk pembersihan etnik. Pembunuhan besar-besaran orang awam, kebuluran penduduk serta serangan terhadap petugas kemanusiaan mesti dihentikan,” katanya.
Katanya, perluasan berterusan penempatan haram Israel, keganasan pelampau peneroka, serta rampasan de facto Tebing Barat menjadi ancaman nyata terhadap sebarang penyelesaian dua negara yang berdaya maju.
“Persidangan ini mesti menjadi pemangkin. Ia mesti mendorong kemajuan yang tidak boleh diundur ke arah menamatkan pendudukan haram dan merealisasikan aspirasi bersama kita bagi sebuah penyelesaian dua negara yang berdaya maju,” katanya.
Guterres menyeru semua pihak menunjukkan kepimpinan yang berani dan berprinsip, sambil menegaskan alternatifnya iaitu realiti satu negara yang diceroboh dengan pendudukan dan ketidaksamarataan jelas tidak mampan dan tidak boleh diterima.
“Tanpa dua negara, tidak akan ada keamanan di Asia Barat dan radikalisme akan merebak ke seluruh dunia,” katanya.
Terdahulu, Israel memberi reaksi tidak puas hati terhadap tindakan beberapa negara yang mengiktiraf Palestin dengan Kabinet negara haram itu mendesak supaya Perdana Menteri Benjamin Netanyahu segera menjajah sepenuhnya Tebing Barat sebagai ‘pengajaran’.
Netanyahu juga mencipta naratif tidak masuk akal apabila menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai ‘ganjaran’ kepada Hamas untuk melakukan lebih banyak keganasan di Asia Barat tanpa menyedari apa yang dilakukan Israel di bumi Gaza ketika jelas adalah genosid.
Pemimpin Israel itu turut mengancam untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana negara yang mengiktiraf Palestin tanpa menjelaskan lebih lanjut berhubung perkara tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly berkata, negaranya akan menganjurkan satu persidangan pembinaan semula Gaza sebaik sahaja gencatan senjata dicapai di wilayah yang musnah itu.
“Sebaik sahaja kita mencapai gencatan senjata Mesir akan menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai pembinaan semula Semenanjung Gaza bagi menggembleng dana yang diperlukan untuk pelan pembinaan semula Arab-Islam,” katanya pada persidangan sama.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez yang lantang mengkritik perang Israel di Gaza, pada Isnin turut menyeru supaya Palestin diterima sebagai negara anggota penuh PBB.
“Persidangan ini merupakan satu pencapaian penting, tetapi ia bukan penamat perjalanan. Ia hanyalah permulaan.
“Negara Palestin mesti menjadi anggota penuh PBB. Proses untuk Negara Palestin menyertai organisasi ini perlu diselesaikan secepat mungkin, setaraf dengan negara-negara lain.
“Selain itu, kita mesti mengambil langkah segera untuk menghentikan kebiadaban dan menjadikan keamanan satu kenyataan,” tegasnya.
Perdana menteri berhaluan kiri itu merupakan antara pengkritik paling lantang terhadap serangan besar-besaran Israel di Gaza yang dilancarkan sebagai tindak balas kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Beliau malah menyatakan sokongan terhadap penunjuk perasaan pro-Palestin yang muncul di perlumbaan berbasikal Vuelta di negaranya.
Sepanyol, bersama Ireland dan Norway, sudah pun mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada Mei lalu. – UTUSAN










