Chicago mungkin terima nasib seperti Washington

Chicago mungkin terima nasib seperti Washington

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mengugut untuk mengerah pasukan keselamatan di bawah ‘Jabatan Perang’ ke bandar Chicago, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan berhubung tindakannya menempatkan tentera di bandar dikuasai Demokrat.

Langkah itu dikatakan bagi meniru operasi yang dilaksanakan di ibu negara, Washington DC, apabila Trump mengerahkan Pasukan Pengawal Kebangsaan serta mempertingkatkan kehadiran ejen persekutuan untuk membuat tangkapan serta pengusiran, yang mencetuskan bantahan penduduk tempatan.

“Chicago bakal mengetahui mengapa ia dinamakan Jabatan Perang,” kata Trump menerusi hantaran di akaun Truth Social miliknya pada Sabtu.

Hantaran itu turut memaparkan imej buatan AI presiden tersebut bersama petikan berbunyi: “Saya suka bau pengusiran pada waktu pagi” merujuk kepada dialog filem terkenal tahun 1979, Apocalypse Now.

Sehari sebelumnya, Trump menandatangani perintah menukar nama rasmi Jabatan Pertahanan kepada Jabatan Perang, kononnya membawa mesej kemenangan kepada dunia.

Tindakan tersebut bagaimanapun mengundang kecaman Gabenor Illinois, JB Pritzker.

“Presiden Amerika Syarikat sedang mengugut untuk berperang dengan sebuah bandar dalam negaranya sendiri. Ini bukan gurauan. Ini bukan sesuatu yang normal,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Sejak Jun lalu, Trump sudah mengerah pasukan tentera dan ejen persekutuan ke Los Angeles serta Washington, mencetuskan siri cabaran undang-undang dan protes besar-besaran apabila tindakannya disifatkan sebagai demonstrasi kuasa autoritarian.

Selain Chicago, Trump turut memberi amaran akan melaksanakan tindakan serupa di bandar Baltimore dan New Orleans yang dikuasai oleh Demokrat.

Di Washington, protes besar-besaran kembali tercetus pada semalam dengan ribuan peserta berarak di pusat bandar menuntut penamatan ‘pendudukan’ tentera yang diisytiharkan sejak Ogos lalu selepas Trump mengumumkan darurat jenayah. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN