KLANG: Seramai 20 pengusaha bot penumpang ke Pulau Ketam menggesa kerajaan mengekalkan pembelian harian minyak petrol secara permit sebanyak 100 liter yang diisi dalam tong dengan harga subsidi RM1.99 dalam inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
Cadangan tersebut berikutan mereka tidak mempunyai lesen memandu seperti yang ditetapkan bagi menikmati subsidi minyak RON95 pada harga RM1.99.
Ketua MCA Bahagian Kapar, Datuk Song Kee Chai berkata, pengusaha bot pelancongan dan bot teksi bimbang terpaksa membeli mengikut harga pasaran RM2.60 seliter mulai minggu hadapan.
“Ketika ini, pengusaha diberi permit membeli minyak petrol untuk diisi dalam tong sebanyak 100 liter dengan harga subsidi iaitu RM2.05 seliter.
“Bagaimanapun, pengusaha stesen minyak yang ditemui mereka memaklumkan mereka perlu menunjukkan lesen memandu selain kad pengenalan untuk mendapatkan subsidi,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Bagaimanapun di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi memberitahu kerajaan sedia mempertimbangkan rayuan golongan nelayan kecil, pekebun, pemilik perahu serta bot yang menggunakan petrol RON95 bagi memastikan mereka turut mendapat manfaat daripada program BUDI Madani RON95 (BUDI95).
Katanya, kerajaan menyedari wujud kes tertentu seperti di Sabah, Sarawak dan Kelantan, yang mana nelayan kecil atau pemilik perahu menggunakan petrol RON95 walaupun tiada lesen memandu di bawah nama mereka.
Kee Chai menambah, pengusaha -pengusaha bot mendakwa mungkin akan menaikkan harga tambang bot jika mereka perlu membayar harga minyak seliter RM2.60 yang mana ia sudah pasti membebankan pengguna.
“Jadi bagi mengelakkan kekeliruan dan peningkatan kos yang menyusahkan pengguna saya berharap pihak berkuasa segera memberi garis panduan pembelian minyak petrol bersubsidi yang tidak membebankan pengusaha bot,” ujarnya. – UTUSAN










