Agensi akhbar masih jadi sumber berautoriti - MB Selangor

Agensi akhbar masih jadi sumber berautoriti – MB Selangor

Sumber berautoriti
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita program Pemukiman dan Mesyuarat Pegawai Perhubungan Awam dan Media Selangor 2025 dekat Bertam, di Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Media arus perdana masih berperanan sebagai sumber berautoriti dalam penyebaran berita dan maklumat bertepatan dengan aspirasi dan dasar-dasar kerajaan.

Justeru, unit komunikasi korporat atau strategik setiap unit, jabatan dalam kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anak syarikat bertanggungjawab mewujudkan keseimbangan melalui hubungan dengan agensi-agensi akhbar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, agensi media dan kerajaan negeri memerlukan kombinasi persefahaman dalam suasana penyebaran maklumat yang lebih baik walaupun sosial media dilihat menawan dunia komunikasi.

“Kita mahu mereka (bahagian komunikasi agensi) juga ada keterlibatan dengan wartawan. Kalau sebelum ini, mungkin dibuat secara formal, namun hubungan yang (dalam program) yang tidak formal membantu meningkatkan lagi komunikasi.

“Selain itu, mereka juga perlu ada kesedaran tentang perubahan dalam komunikasi termasuk dalam sosial media supaya beradaptasi dengan keadaan tersebut dengan merancang komunikasi berkesan dalam mengenengahkan dasar-dasar kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita pada program Pemukiman dan Mesyuarat Pegawai Perhubungan Awam dan Media Selangor 2025, hari ini.

Lebih 60 peserta mewakili jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri masing-masing termasuk agensi media seperti Utusan Malaysia hadir dalam program dianjurkan di Bertam, Pulau Pinang itu yang turut melibatkan sesi perkongsian bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Amirudin berkata, bahagian komunikasi juga perlu mengambil sikap proaktif terhadap penyampaian dasar kerajaan termasuk menjadi pencipta aliran (trend setter) supaya menjadi pendahulu terutama dalam media-media sosial.

Jelasnya, unit, jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri tidak lagi boleh menjadi reaktif atau bertindak berdasarkan kritikan-kritikan dari luar yang lebih mendahului mereka.

“Kita tidak boleh menjadi reactionary, maksudnya kita kena ada perancangan, sasaran di pihak komunikasi bagi membentuk pemikiran dan juga menunjukkan perkara yang sedang dilakukan oleh pihak jabatan atau agensi. Kena lebih proaktif.

“Ada tiga perkara penting yang harus ada dalam perhubungan komunikasi iaitu menjadi penganalisis, perancang dan pencipta kandungan. Tiga perkara itu bila digunakan dalam satu pasukan, (komunikasi dasar kerajaan) itu dapat dibentuk jauh lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN