Swatch tarik balik iklan 'mata sepet' selepas dituduh ejek rakyat China

Swatch tarik balik iklan ‘mata sepet’, dituduh ejek rakyat China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERN: Pembuat jam tangan Switzerland, Swatch, membuat permohonan maaf dan menarik balik iklan yang memaparkan seorang model menarik sudut matanya, selepas imej itu mencetuskan kemarahan pengguna media sosial di China.

Pengkritik mendakwa, aksi itu menyerupai isyarat perkauman ‘mata sepet’ yang secara sejarah digunakan untuk mempersenda dan mengejek orang Asia.

Gesaan untuk memboikot produk Swatch semakin meningkat di platform media sosial China apabila iklan tersebut tular.

Swatch dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kebimbangan terkini berhubung gambaran model dalam iklan tersebut.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan dan salah faham yang mungkin timbul disebabkan isu ini.

“Kami menganggap isu ini sangat serius dan segera menarik balik semua bahan berkaitan di seluruh dunia,” kata syarikat itu.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu gagal menenangkan pengkritik.

“Mereka menjana keuntungan daripada kami tetapi masih berani mendiskriminasikan rakyat China. Kita hilang maruah jika tidak memboikot mereka,” kata seorang netizen China di Weibo.

Swatch memperoleh sekitar 27 peratus pendapatannya daripada China, Hong Kong dan Macau, walaupun jualan di China dilaporkan merosot akibat ekonomi perlahan negara itu.

Syarikat itu juga menghasilkan jam tangan jenama Omega, Longines dan Tissot.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengguna China menganjurkan boikot terhadap jenama global yang dianggap menghina budaya mereka atau mengancam kepentingan nasional.

Pada 2021, berlaku boikot meluas terhadap jenama fesyen antarabangsa seperti H&M, Nike dan Adidas selepas ia menyatakan kebimbangan terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Xinjiang.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN