Saya sertai parti berjuang untuk orang Melayu – Khir Toyo

Saya sertai parti berjuang untuk orang Melayu – Khir Toyo

MOHAMAD KHIR TOYO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai berjiwa besar yang sanggup meletakkan calon di kesemua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bekas Menteri Besar Sela­ngor, Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, langkah tersebut me­nunjukkan kesediaan parti itu mewakili dan membawa suara orang Melayu terutama menje­lang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, itu antara alasan beliau meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu sekali gus mengesahkan dakwaan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

“UMNO jika masih bersama Pakatan Harapan (PH), parti itu mungkin hanya bertanding tiga kerusi Parlimen dan 12 DUN di Selangor. Malah dalam pilihan raya lepas, hanya dua sahaja dimenangi daripada 12 yang ditandingi.

“Keseluruhan di peringkat Parlimen nanti, UMNO mungkin bertanding 30 hingga 40 kerusi, jadi bagaimana hendak mewakili orang Melayu? Soal menang atau kalah itu kuasa Allah, kita sepatutnya berusaha.

“Tetapi, UMNO sekarang sudah menjadi parti suplemen, bagaimana mereka akan mewakili suara orang Melayu? Tak mengapa, saya akan bersama dengan parti yang berjuang untuk orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Abdul Rahim dilaporkan mendakwa, Mohamad Khir yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menyertai Bersatu sebagai langkah memperkukuh jentera pilihan raya parti bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) dan PRU.

Perkara itu diumumkan beliau yang turut hadir bersama Mohamad Khir dan pemberita serta beberapa ahli politik di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Mohamad Khir, beliau mengambil keputusan menyertai Bersatu tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak ataupun dipengaruhi oleh pimpinan-pimpinan tertentu.

“Saya sudah pun sertai Bersatu sejak 1 Julai lalu di Bahagian Bersatu Sabak Bernam. Tiada paksaan daripada mana-mana pihak dan ia dilakukan atas ke­relaan saya sendiri selepas menilai parti yang akan membawa suara orang Melayu.

“Sudah lebih sebulan, tetapi saya hanya orang kecil tidak memegang jawatan penting baik dalam UMNO ataupun Bersatu. Soal pertemuan saya de­ngan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Bersatu, Tan Sri Noh Omar dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah sebagai kawan lama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN