KUALA LUMPUR: Malaysia memperuntukkan RM611 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan darjat hidup rakyat.
RMK13 menyasarkan kadar pertumbuhan tahunan purata negara antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun diterajui permintaan domestik dan eksport purata kasar meningkat 5.8 peratus.
Pertumbuhan itu akan membolehkan Malaysia mencapai sasaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita sebanyak RM77,200 pada tahun 2030 dan melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi.
Sasaran itu dijangka mampu dicapai menerusi pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 lagi penciptaan karier dalam bidang ekonomi digital.
Pelan pembangunan itu terkandung dalam sembilan fokus utama RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam, bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’.
“Menjelang tahun 2030, aspirasi Malaysia adalah untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia,” katanya.
Sembilan inisiatif yang dirangka memberi tumpuan kepada Menuju Negara Berteraskan Kecerdasan Buatan; Melonjakkan Pertumbuhan Industri HIGVH dan Sektor Strategik; Menyeimbangkan Kemajuan Ekonomi antara Wilayah dan
Mengukuhkan Pembangunan Luar Bandar; memperhebatkan Penglibatan Malaysia di persada ekonomi dunia; Memastikan Perkhidmatan Telus, Tangkas dan Tuntas; Menangani Kos Sara Hidup; Merekayasa Sistem Sosial Berteraskan Insan Madani; Meningkatkan Mutu Kehidupan Rakyat dan Mencapai Keadilan Sosial dan Kesaksamaan Peluang.
Selain itu, RMK13 juga memberi tumpuan kepada memperkasa agenda bumiputera, melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri kurang membangun.
Perdana Menteri berkata, RMK13 menggariskan perancangan strategik yang komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dengan guna tenaga mahir ke arah mencapai pertumbuhan inklusif tanpa mengabaikan alam sekitar.
Peruntukan kali ini lebih besar berbanding RM400 bilion dalam RMK12 iaitu sebanyak RM430 bilion bagi tujuan pembangunan yang mana lebih separuh iaitu RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.
Sementara itu, Anwar berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini.
Beliau berkata, pengesahan itu dibuat Trump dalam perbualannya dengan Presiden AS itu awal pagi semalam.
“Saya maklumkan, baik tuan Presiden, saya akan umumkan (pengesahan kehadiran) di Parlimen hari ini,” katanya.
Selain Trump, antara negara rakan dialog ASEAN dijangka hadir adalah Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan United Kingdom (UK). – UTUSAN










