MOSCOW: Presiden Vladimir Putin melancarkan platform pemesejan baharu disokong kerajaan, MAX, yang mencetuskan kebimbangan perkhidmatan itu direka untuk memperluas pengawasan negara terhadap rakyat Russia.
Dibangunkan syarikat teknologi VK yang mempunyai kaitan dengan Kremlin, MAX diberi status rasmi sebagai perkhidmatan pemesejan kebangsaan pada Julai lalu selepas Putin menandatangani undang-undang baharu.
Aplikasi, yang sudah mempunyai 18 juta pengguna, dijangka diintegrasikan dalam kehidupan seharian dengan model sama seperti aplikasi WeChat di China.
Kumpulan hak asasi dan pakar teknologi bimbang MAX akan digunakan untuk memantau komunikasi dan mengetatkan sekatan terhadap kebebasan bersuara.
Ketika pelancarannya, kenyataan rasmi menyebut MAX akan dipra-pasang pada sesetengah peranti elektronik berteknologi tinggi, namun butiran lanjut tidak didedahkan.
Kerajaan turut mempromosikan MAX sebagai ciri keselamatan, dengan mengumumkan rakyat Russia akan dapat menggunakan kod yang dijana melalui aplikasi itu untuk melindungi akaun Gosuslugi, portal perkhidmatan kerajaan dalam talian negara tersebut.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian usaha Putin memperkukuh kawalan digital, ketika Russia berdepan sekatan ke atas platform Barat seperti Instagram, Facebook, YouTube serta media bebas sejak beberapa tahun lalu.
Minggu lalu, Russia turut menyekat sebahagian akses kepada platform pemesejan berkod seperti WhatsApp dan Telegram yang digunakan oleh jutaan rakyatnya.
Sumber Kremlin mendakwa, terdapat kemungkinan besar aplikasi tersebut akan diharamkan sepenuhnya dalam masa terdekat, lapor The ABC.- AGENSI










