NEW YORK: Wanita hamil hanya disarankan mengambil paracetamol atas nasihat doktor, dengan saintis memberi amaran ubat tahan sakit itu dibimbangi boleh meningkatkan risiko autisme serta gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) pada anak.
Paracetamol, juga dikenali sebagai acetaminophen dan dijual dengan jenama Tylenol di Amerika Syarikat (AS), digunakan secara meluas oleh ibu mengandung untuk melegakan sakit, sakit kepala dan demam.
Namun, puluhan kajian sebelum ini mengaitkan penggunaannya semasa kehamilan dengan kadar lebih tinggi autisme dan ADHD pada kanak-kanak.
Penyelidik AS dari Mount Sinai dan Sekolah Kesihatan Awam Harvard berkata, analisis mereka terhadap lebih 100,000 individu memberikan bukti terkukuh setakat ini yang mengaitkan penggunaan paracetamol semasa kehamilan dengan peningkatan risiko autisme dan ADHD.
Kumpulan penyelidik itu menggesa wanita hamil agar mengambil ubat tahan sakit secara berhati-hati, dengan hanya menggunakan dos paling rendah untuk tempoh singkat.
Bagaimanapun, ia menegaskan penemuan itu tidak membuktikan paracetamol secara langsung menyebabkan gangguan perkembangan saraf.
“Penemuan kami menunjukkan kajian berkualiti tinggi lebih cenderung menunjukkan kaitan antara pengambilan acetaminophen semasa hamil dengan peningkatan risiko autisme dan ADHD,” kata Penolong Profesor Sains Kesihatan di Hospital Mount Sinai, Dr Diddier Prada.
Beliau memberi amaran penggunaan paracetamol secara meluas dalam kalangan wanita boleh membawa risiko besar kepada kesihatan awam, walaupun peningkatan risikonya kecil.
“Namun, wanita hamil tidak boleh berhenti mengambil ubat tanpa berunding dengan doktor. Sakit atau demam yang tidak dirawat juga boleh membahayakan bayi,” katanya.
Setakat ini, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom (UK) mengesyorkan paracetamol sebagai ubat tahan sakit ‘pilihan pertama’ untuk wanita hamil, tetapi hanya bagi tempoh singkat dan pada dos paling rendah.
Di UK, kira-kira separuh wanita hamil mengambil paracetamol, manakala di AS jumlahnya mencecah 65 peratus.- AGENSI











