Guru wanita nyaris maut dikelar suami

Guru wanita nyaris maut dikelar suami

SAZALEE Adam (dua, kiri) berada di lokasi kejadian kelar membabitkan pasangan guru di Taman Tunas, Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Pasangan suami isteri yang dilaporkan cedera dalam satu kejadian kelar di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, awal pagi semalam disahkan pasangan guru yang mengajar di sebuah sekolah di daerah Barat Daya di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Saza­lee Adam berkata, pasangan itu tinggal bersama keluarga wanita terbabit dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

Katanya, pasanngan itu merupakan lulusan pengajian Bahasa Mandarin di sebuah institusi di Beijing, China.

“Kejadian itu berlaku sebelum Subuh selepas ibu kepada mang­sa terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas rumah dua tingkat yang mereka diami.

“Sebaik sahaja dia (ibu mang­sa) naik ke atas, dia melihat suspek sedang menindih anaknya sambil cuba mengelar leher wa­nita itu dengan sebilah pisau.

“Dia kemudian segera menarik anaknya keluar dari situ dan sempat melihat suspek turut mengelar pergelangan tangan kiri dan lehernya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, wanita terbabit berdepan detik-detik cemas apabila nyaris maut selepas dikelar oleh suaminya, awal pagi semalam.

Mengulas lanjut, Sazalee berkata, akibat kejadian itu, mangsa berusia 28 tahun cedera di leher, namun dilaporkan stabil.

Sementara itu, katanya, suspek iaitu suami mangsa berusia 30 tahun, mengalami kece­deraan serius dan sedang dirawat di Zon Merah Hospital Pulau Pinang.

“Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemukan sebarang petunjuk pasangan itu menghadapi masalah rumah tangga, kewangan atau masalah kesihatan.

“Saksi yang ditemui juga mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pasa­ngan berkenaan sebelum ini hidup dalam suasana harmoni. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN