Gelombang haba: Rakyat Turkiye minta kerajaan bantu bayar bil elektrik

Gelombang haba: Rakyat Turkiye minta kerajaan bantu bayar bil elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SILOPI: Suhu mencecah 50.5 darjah Celsius di tenggara Turkiye menyebabkan penduduk di bandar Silopi terkesan dengan cuaca panas luar biasa, sehingga menggesa kerajaan campur tangan untuk membantu menanggung bebanan kos bil elektrik.

Suhu yang direkodkan pada Jumaat lalu merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara itu, memecah rekod terdahulu iaitu 49.5°C yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.

“Kami sudah tidak mampu bertahan dengan cuaca panas ini,” kata seorang pembuat aiskrim, Recep Esiyok, 59, kepada agensi berita AFP.

Menurut beliau, satu-satunya kelegaan adalah alat pendingin hawa di kedainya, namun beliau bimbang tentang bayaran bil elektrik yang semakin membebankan.

“Bil elektrik saya bulan lepas mencecah 59,000 lira (RM6,700). Kami benar-benar mengharapkan bantuan daripada kerajaan,” ujarnya.

Silopi, sebuah bandar majoriti Kurdish berhampiran sempadan Iraq, menjadi lokasi yang terjejas teruk akibat gelombang haba yang melanda seluruh negara, dengan suhu naik antara 6 hingga 12 darjah Celsius melebihi paras purata musimnya, menurut Jabatan Meteorologi Negara.

Turkiye turut berdepan siri kebakaran sejak musim panas bermula dengan minggu lalu, 10 orang terbunuh ketika bertugas memadam kebakaran di wilayah Eskisehir yang terletak di barat laut negara tersebut.

Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan pada Isnin lalu mengakui negara itu mengalami cuaca panas luar biasa sejak lima tahun lalu akibat pemanasan global.

Di samping terbeban dengan cuaca panas melampau, penduduk juga turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kekurangan tumbuhan hijau dan pokok yang boleh memberikan meneduhkan sekitar kawasan bandar tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN