KUALA LANGAT: Empat remaja yang maut dalam kemalangan dekat Kampung Chodoi, Jalan Sultan Suleiman Shah, di sini, dikatakan baru pulang daripada mengadakan aktiviti barbeku di Panti Morib dekat sini malam semalam.
Menurut ibu salah seorang remaja terlibat, arwah ada meminta wang daripadanya untuk keluar melakukan aktiviti itu bersama kawan-kawannya.
“Saya berikan RM5 kepadanya dan wang itu masih tersimpan rapi dalam beg dompetnya. Memang amat sedih sebab dia anak yang baik dan rajin. Apa yang saya tahu dia adalah penumpang dalam kereta dan tercampak semasa kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting, semalam.
Sementara bapa remaja tersebut, dia sempat berpesan kepada anak sulungnya daripada tiga beradik itu supaya menunaikan solat Maghrib sebelum keluar.
“Selepas solat, saya lihat dia keluar dengan membawa stoking tanpa makan malam. Saya ingat dia hendak keluar bermain sepak takraw sebab arwah memang aktif bermain sukan itu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
“Namun, saya diberitahu oleh kawannya kira-kira pukul 6.45 pagi yang arwah terlibat kemalangan jalan raya. Selang 15 minit kemudian, saya dimaklumkan lagi anak meninggal dunia, luluh hati saya,” katanya.
Sementara ibu seorang lagi remaja terbabit memberitahu, anak sulung daripada lima beradik itu mengambil alih tugas ‘ketua keluarga’ selepas suaminya kini terlantar di rumah akibat masalah kesihatan.
Katanya, sebelum kejadian arwah ada memaklumkan ingin keluar membaiki motosikal di sebuah bengkel kira-kira pukul 10 malam.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa dan dia memandu kereta suami. Saya sempat berpesan supaya berhati-hati. Namun, tidak sangka arwah kemalangan, malah dia tidak menunjukkan sebarang perubahan pun sebelum ini,” ujarnya.
Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai kerja dalam membantu kewangan keluarga.
“Arwah yang banyak bantu membayar pinjaman rumah, beli barang, memasak dan menguruskan anak-anak. Dia tulang belakang kami. Kehilangannya memang terasa dan berat sungguh ujian kami,” tuturnya.
Bagi, Nururrarizikiah Jantan, 47, tragedi itu benar-benar memilukan hatinya susulan kehilangan anak ketiganya, Hariz Nazri, 19.
Menurutnya, seorang lagi anaknya iaitu Danish Haikal Nazri, 17, sedang bertarung nyawa dirawat di Zon Merah.
“Arwah Hariz baharu sahaja pulang daripada bekerja sebagai mekanik di bengkel berhampiran rumah di Batu Kebun 9. Saya ingat Hariz dan Danish Haikal keluar bersama rakan-rakan di kawasan berdekatan. Saya kena kuat semangat dan berharap seorang lagi anak saya selamat,” jelasnya. – MINGGUAN










