Bekas pengikut GISBH tinggalkan Selangor

Bekas pengikut GISBH tinggalkan Selangor

GISBH
MOHAMMAD Fahmi Ngah ditemui pemberita pada Majlis Penerimaan Sijil Malaysia Book of Records oleh Leading Innovative Technologies and Systems (LITS), di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas pengikut-pengikut Global Ikhwan Services and Business Sdn. Bhd. (GISBH) didakwa meninggalkan negeri ini susulan penguatkuasaan fatwa pengharaman terhadap gerakan tersebut oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pergerakan tersebut dikesan susulan pemantauan dilakukan terhadap premis-premis atau rumah yang mempunyai kaitan dengan GISBH.

“Khabarnya ramai juga pengikut yang pergi ke negeri lain susulan fatwa yang mengharamkan mereka di Selangor. Jadi, kuranglah yang kita dapat kesan. Sudah berkurangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun, pengikut yang sebelum ini ditahan termasuk kanak-kanak masih menjalani program pemulihan sehingga enam bulan.

“Anak-anak pengikut yang ditahan sebelum ini sudah pun pergi ke sekolah aliran perdana dan menjalaninya seperti biasa. Mereka pun dipastikan dapat menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) seperti pakaian dan sebagainya.

“Ibu bapa juga hadir ke kelas-kelas riqab yang disediakan. Jadi, pemulihan berlaku dengan baik dan masih berjalan. Kesannya juga kita dapat lihat,” ujarnya.

Sehingga kini, selain Selangor, sebanyak lima negeri sudah pun mengeluarkan fatwa berhubung pengharaman terhadap gerakan GISBH yang didakwa bertentangan dengan akidah Islam iaitu, Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.

Bagaimanapun, negeri lain seperti Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan menguatkuasakan pengharaman terhadap GISBH sebagai gerakan ajaran sesat dengan mengguna pakai fatwa sedia ada termasuk berkaitan gerakan al-Arqam.

Kata Mohammad Fahmi, prosedur undang-undang terhadap pengurusan GISBH dan pengikut yang ditahan sebelum ini masih berjalan dan kertas siasatan sudah pun dikembalikan semula bagi tujuan pendakwaan sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini kita sudah serahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya, namun dua minggu lepas kertas siasatan dikembalikan untuk diperkemaskan dan sudah pun menghantarnya semula. Kita menunggu tindakan selanjutnya,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×