KYIV: Ukraine menahan tujuh individu termasuk lima remaja yang disyaki merancang serangan sabotaj bagi pihak Russia, menurut Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU).
Penahanan itu merupakan yang terbaharu dalam siri tangkapan melibatkan remaja sejak perang Russia-Ukraine bermula lebih tiga tahun lalu.
Antara yang ditahan ialah seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dipercayai menyediakan bahan letupan untuk menyerang tentera Ukraine, serta dua remaja lelaki yang didakwa cuba meletupkan kereta polis.
Moscow dan Kyiv saling menuduh antara satu sama lain kerana merekrut orang awam, kebiasaannya remaja yang terdesak memerlukan wang.
Mereka direkrut untuk menyelaraskan atau melancarkan serangan sabotaj dengan menawarkan insentif serta mempengaruhi pelaku melalui media sosial.
SBU dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya membongkar tujuh lagi ejen Russia yang merancang serangan keganasan terhadap anggota tentera dan penguat kuasa undang-undang Ukraine.
“Pelaku direkrut oleh pihak penjajah melalui Telegram yang menawarkan ‘duit mudah’,” kata SBU.
Kesemua mereka disyaki merancang serangan terhadap tentera dan agensi penguat kuasa Ukraine menggunakan bahan letupan buatan sendiri.
Jika didapati bersalah, mereka berdepan hukuman antara 12 tahun hingga penjara seumur hidup.
Penahanan tersebut dibuat ketika Ukraine dan Russia bersedia untuk pusingan ketiga rundingan damai yang dijadualkan berlangsung minggu ini.
Russia sekali lagi merendahkan hasil pusingan baharu itu berikutan kedua-dua pihak masih mempunyai perbezaan ketara dalam visi mereka menamatkan konflik tersebut.- AFP









