BANGKOK: Thailand terbuka untuk Malaysia menjadi orang tengah dalam usaha mencari penyelesaian secara rundingan terhadap konflik berdarah dengan Kemboja.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap Kementerian Luar Negeri Thailand, Nikorndej Balankura, kepada AFP, hari ini.
“Kami bersedia, jika Kemboja ingin menyelesaikan isu ini melalui saluran diplomatik, sama ada secara dua hala atau menerusi Malaysia, kami sedia bekerjasama.
“Namun, setakat ini, belum ada sebarang maklum balas,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sedia menjadi orang tengah yang mendamaikan ketegangan Thailand dan Kemboja, bagi membolehkan rundingan dimulakan demi keamanan di rantau ASEAN.
“Kita berharap sekurang-kurangnya kedua-dua pihak dapat menghentikan serangan dan mudah-mudahan mereka bersedia untuk memulakan rundingan damai,” katanya.
Terdahulu, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phutham Wechayachai, memberi amaran pertempuran rentas sempadan dengan Kemboja yang memaksa lebih 130,000 orang berpindah, boleh berkembang menjadi perang.
Pertikaian sempadan yang berlarutan sekian lama meletus menjadi pertempuran sengit melibatkan jet pejuang, artileri, kereta kebal dan tentera darat semalam.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mengadakan mesyuarat tergempar berhubung konflik itu hari ini.
Kementerian Kesihatan Thailand berkata, lebih 138,000 orang dipindahkan dari kawasan sempadan, dengan 15 kematian direkodkan, manakala 46 lagi cedera termasuk 15 anggota tentera.










