GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan peningkatan luar biasa sebanyak 45 kes lumpuh akut dalam tempoh dua bulan terakhir, disyaki berpunca daripada keadaan kesihatan dan alam sekitar yang merosot akibat kebuluran teruk di bawah kepungan Israel.
Menurut kenyataan rasmi pada Selasa, pihak berkuasa kesihatan tidak mempunyai kemampuan diagnosis tepat, namun ia berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan poliovirus atau sindrom Guillain-Barré.
“Peningkatan mendadak ini berlaku dalam konteks kehancuran menyeluruh sistem kesihatan awam dan alam sekitar akibat serangan berterusan Israel,” kata kementerian itu.
Faktor penyumbang termasuk pencemaran air, keruntuhan sistem pembetungan, penularan penyakit berjangkit, pengumpulan sisa buangan, kekurangan zat makanan dan kelemahan sistem imun.
Kementerian turut menggesa masyarakat antarabangsa dan badan kemanusiaan untuk campur tangan segera bagi menghentikan serangan, menyelamatkan sistem kesihatan yang lumpuh, serta memperbaiki keadaan hidup rakyat Gaza.
Ketika ini, Gaza sedang berdepan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarahnya, dengan kebuluran besar-besaran susulan serangan ketenteraan Israel yang disifatkan sebagai tindakan genosid sejak 7 Oktober 2023.
Hospital-hospital kini hampir lumpuh sepenuhnya, dengan kekurangan ubat dan bekalan perubatan serta ketidakupayaan menjalankan diagnosis dan rawatan.
Dalam kenyataan sama, kementerian turut memaklumkan bahawa enam fasiliti kesihatan termasuk sebuah hospital dan stesen oksigen utama telah ditutup akibat kekurangan bahan api susulan penutupan lintasan sepenuhnya oleh Israel sejak Mac 2025.
Kementerian memberi amaran bahawa semua hospital yang masih beroperasi berisiko lumpuh sepenuhnya dalam tempoh 48 jam jika bekalan tidak dipulihkan segera.
Sejak Oktober 2023, seramai 101 orang dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, termasuk 80 kanak-kanak. Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, 15 lagi penduduk Palestin termasuk empat kanak-kanak dilaporkan maut. – AGENSI










