KYIV: Serangan Russia ke atas sebuah penjara di tengah Ukraine pada malam Isnin, mengorbankan lebih 16 orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Serangan itu berlaku hampir tiga tahun selepas insiden serupa di sebuah pusat tahanan lain di wilayah Ukraine, yang dilaporkan meragut nyawa puluhan askar Ukraine yang ditawan.
Ia juga berlaku hanya sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberikan tarikh akhir baharu kepada Moscow untuk menamatkan pencerobohan ke atas Ukraine, yang kini memasuki tahun keempat.
Russia melancarkan lapan serangan ke atas wilayah Zaporizhzhia, termasuk ke atas penjara tersebut, menurut Ketua Pentadbiran Tentera, Ivan Fedorov.
Beliau berkata, 16 orang terbunuh dalam serangan itu manakala 35 lagi cedera, selain kemusnahan terhadap fasiliti berkenaan dan kerosakan pada rumah berhampiran.
Pesuruhjaya hak asasi manusia Ukraine, Dmytro Lubinets berkata, serangan di Zaporizhzhia itu merupakan satu lagi bukti jenayah perang Russia.
“Orang yang ditahan tidak kehilangan hak untuk hidup dan dilindungi,” tulisnya di media sosial.
Tentera udara Ukraine memaklumkan, Russia melancarkan 37 dron dan dua peluru berpandu sepanjang malam, dengan sistem pertahanan udara Ukraine berjaya menembak jatuh 32 dron sahaja.
Pegawai kerajaan wilayah turut melaporkan terdapat korban dan kecederaan dalam serangan di Dnipropetrovsk.- AFP











