Rundingan gencatan senjata Gaza goyah?

Rundingan gencatan senjata Gaza goyah?

PENDUDUK Palestin memeriksa kemusnahan di kem perlindungan sementara di Khan Younis, susulan pencerobohan kereta kebal Israel pada 10 Julai lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Rundingan antara Israel dan Hamas di Qatar bagi memeterai perjanjian baharu gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza kini di ambang kegagalan, menurut pegawai Palestin.

Seorang pegawai kanan memberitahu BBC, Israel cuba ‘membeli masa’ semasa lawatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ke Washington minggu ini, dan sengaja melengahkan proses dengan menghantar delegasi tanpa kuasa membuat keputusan ke Doha.

Antara isu utama yang menjadi perbalahan termasuk pengunduran tentera Israel dari Gaza dan pengagihan bantuan kemanusiaan.

Sebelum meninggalkan AS pada Khamis, Netanyahu menyatakan keyakinan perjanjian dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, termasuk pembebasan separuh daripada 20 tebusan hidup dan lebih separuh daripada 30 tebusan yang meninggal dunia.

Sejak Ahad lalu, wakil Israel dan Hamas menghadiri lapan pusingan rundingan tidak langsung di bangunan berasingan di Doha.

Rundingan itu dikendalikan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdul Rahman Al Thani bersama pegawai kanan perisikan Mesir, dan turut dihadiri utusan khas Amerika Syarikat (AS), Brett McGurk.

Bagaimanapun, pegawai Palestin yang mengetahui mengenai rundingan memberitahu BBC, proses itu seolah-olah menemui jalan buntu, apabila kedua-dua pihak masih berbeza pendapat berhubung beberapa isu utama.

Hamas menegaskan, bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti disalurkan melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa, manakala Israel mahu ia diagih menerusi Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong AS.

Pengantara memaklumkan, terdapat sedikit kemajuan dalam isu bantuan, tetapi belum ada persetujuan rasmi.

Pegawai Palestin turut menuduh delegasi Israel sengaja melengah-lengahkan rundingan bagi mencipta gambaran diplomatik yang positif semasa lawatan Netanyahu ke Washington.

“Mereka hanya gunakan pusingan rundingan untuk membeli masa dan menonjolkan imej palsu kononnya terdapat kemajuan,” kata seorang perunding kanan Palestin kepada BBC.

Pegawai juga menegaskan, Israel sedang melaksanakan strategi jangka panjang berhubung pemindahan paksa rakyat Palestin di bawah nama perancangan kemanusiaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN