TAIYUAN: Sebuah restoran di utara China dikritik kumpulan kebajikan haiwan selepas menawarkan pengalaman bermain dan memeluk anak singa sebagai sebahagian daripada menunya.
Restoran Wanhui yang terletak di Taiyuan, wilayah Shanxi, menyediakan set menu tengah hari empat hidang berharga 1,192 yuan (RM705), yang termasuk sesi bermain dengan haiwan peliharaan di dalam premis.
Profil restoran itu di aplikasi popular Dazhong Dianping, memaparkan gambar anak singa bersama haiwan lain seperti rusa dan buaya.
Walaupun anak singa tidak disenaraikan secara rasmi dalam menu, beberapa gambar dalam talian menunjukkan pelanggan memeluk dan bergambar dengan haiwan tersebut.
Dalam satu ulasan yang disiarkan baru-baru ini, seorang pelanggan dilihat duduk dengan anak singa di atas riba sambil memegang kakinya untuk melambai ke arah kamera.
Meskipun sesetengah pempengaruh media sosial mengambil peluang untuk memuat naik gambar bersama anak singa, kebanyakan pengguna media sosial China meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan haiwan liar itu.
Susulan pendedahan tersebut, media tempatan melaporkan Biro Perhutanan Shanxi kini memulakan siasatan serta menegaskan interaksi secara langsung antara manusia dan haiwan liar adalah dilarang di bawah peraturan sedia ada.
Sementara itu, pakar dasar China dari Humane World for Animals, Peter Li, menyifatkan tindakan mengeksploitasi haiwan liar untuk tujuan pemasaran sebagai tidak beretika.
“Mengeksploitasi haiwan liar untuk swafoto dan gimik pemasaran bukan sahaja mencerminkan tahap kebajikan haiwan yang amat teruk, tetapi berpotensi membahayakan pelanggan,” katanya kepada Reuters.
Insiden itu menambah lagi siri skandal kebajikan haiwan eksotik di China.
Bulan lalu, pelancong di sebuah zoo di Liaoning dikecam hebat selepas dilihat menarik bulu haiwan melalui jeriji besi.- THE GUARDIAN










