GAZA: Empat pusat agihan bantuan kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) di Tal al-Sultan, kejiranan Saudi, Khan Younis dan Wadi Gaza kini terletak dalam zon pemindahan, kawasan yang sepatutnya dikosongkan orang awam.
Ini bermakna penduduk yang mahu mendapatkan makanan terpaksa memasuki semula kawasan berbahaya yang sebelum ini terpaksa ditinggalkan atas arahan tentera Israel.
Paling menyedihkan, menurut laman Facebook GHF, pusat ini juga hanya dibuka selama beberapa minit sahaja pada satu-satu masa sedangkan penduduk perlu meredah cabaran besar dan bergerak sejak awal pagi untuk ke kawasan tersebut.
Bulan lalu, purata masa pembukaan pusat bantuan di Saudi hanya sekitar 11 minit, yang menerima kecaman daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan menyifatkan sistem sangat berbahaya itu sengaja dirancang sedemikian.
Ketua Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menyifatkan sistem ini sebagai ‘perangkap maut’ yang meragut lebih banyak nyawa daripada menyelamatkan penduduk.
Sistem itu dilihat lebih menguntungkan lelaki dewasa, kerana hanya mereka yang sanggup mengambil risiko menempuh laluan yang ditetapkan.
Selepas menunggu berjam-jam, mereka bergegas masuk ke zon agihan untuk merebut kotak bantuan namun sering kali mereka pulang dengan tangan kosong atau lebih teruk, menjadi mangsa tembakan.
SISTEM BANTUAN PALING KEJAM
GHF yang berpangkalan di Delaware, Amerika Syarikat (AS) kini menggantikan lebih 400 pusat agihan bukan ketenteraan yang dahulu dikendalikan sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berbeza dengan sistem PBB yang terbuka dan lebih selamat, GHF mengupah askar upahan dari AS untuk mengawal tapak bantuan.
Sejak Mei, lebih 1,000 orang maut ketika cuba mendapatkan bantuan dari pusat GHF atau konvoi kemanusiaan lain, menurut rekod PBB.
Pusat bantuan GHF biasanya mengumumkan masa pembukaan secara tiba-tiba menerusi Facebook, dan kini melalui Telegram serta WhatsApp dengan penduduk diberi amaran agar tidak menghampiri pusat agihan sebelum dibuka.
Seorang penduduk, Mahmoud Alareer, 27, yang tinggal dalam khemah di barat Gaza berkata, masa pembukaan tidak lagi boleh diramal dan hanya bertaruh dengan nasib.
“Setiap malam, kami menaiki trak ke sempadan Wadi Gaza dan menunggu dalam gelap dengan harapan pusat itu akan dibuka pada pukul 2 pagi, seperti sebelum ini.
“Kami bergerak perlahan-lahan, kerana tahu bila-bila masa sahaja kami boleh ditembak atau orang di sebelah kami yang akan kena.
“Apabila pintu agihan dibuka, suasana menjadi huru-hara. Penduduk berlari ke tengah zon agihan, merentasi kabel berselirat dan kawah letupan untuk merebut bantuan,” katanya.
SAIZ BANTUAN LEBIH KECIL
NGO seperti Médecins Sans Frontières (MSF) mengkritik keras pendekatan GHF, terutama agihan waktu malam di kawasan selatan Gaza yang sudah pun musnah akibat pengeboman, menyebabkan penduduk sukar mengenal pasti laluan selamat.
“Ini bukan bantuan kemanusiaan. Ia kelihatan seolah-olah direka untuk mencederakan orang yang memerlukan bantuan,” kata Koordinator kecemasan MSF di Gaza, Aitor Zabalgogeazkoa.
GHF kini hanya mengendalikan empat pusat bantuan untuk dua juta penduduk yang kelaparan dengan 33 orang dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat sejak Ahad lalu.
GHF mendakwa sudah mengedarkan lebih 85 juta hidangan makanan melalui kira-kira 1.4 juta kotak, yang kononnya boleh menyara sebuah keluarga dengan 60 hidangan.
Kandungan biasa kotak bantuan mengandungi tepung, kentang, kacang dan minyak, namun gambar-gambar yang dikongsi penduduk Gaza menunjukkan kotak sebenar jauh lebih kecil isinya.
Jurucakap Pejabat Penyelarasan Kemanusiaan PBB (OCHA), Olga Cherevko berkata, bantuan tidak boleh hanya tertumpu kepada makanan.
“Rakyat Gaza telah dinafikan segalanya. Tempat perlindungan, bahan api, gas memasak, barangan kebersihan, semuanya yang diperlukan untuk hidup dengan maruah dan rasa normal,” katanya.
Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), hampir sepertiga penduduk Gaza terpaksa melalui beberapa hari tanpa makanan, dan 470,000 orang dijangka berada di tahap kebuluran paling kritikal antara Mei hingga September.-AGENSI










