Puak bersenjata dipindahkan dari Sweida

Puak bersenjata dipindahkan dari Sweida

PEJUANG puak merentasi pekan Walga ketika pertempuran makin reda berhampiran bandar Sweida di selatan Syria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Anggota puak-puak bersenjata dipindahkan dari bandar selatan Sweida dan pertempuran ganas yang berlarutan sejak beberapa hari lalu berjaya dihentikan, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Syria semalam.

Perkara itu disahkan jurucakap kementerian, Noureddine Al-Baba dalam satu hantaran di Telegram.

“Selepas usaha intensif oleh Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata, susulan penempatan pasukan keselamatan di wilayah utara dan barat Sweida, bandar ini kini sudah dikosongkan sepenuhnya daripada pejuang puak.

“Pertempuran dalam kawasan kejiranan juga sudah dihentikan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menggesa pasukan keselamatan kerajaan Syria agar segera menghalang kemasukan kumpulan pengganas bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai di kawasan selatan negara itu yang kini bergolak.

“Jika pihak berkuasa di Damsyik ingin mengekalkan sebarang peluang untuk membina Syria yang bersatu, inklusif dan aman, mereka mesti membantu menamatkan bencana ini.

“Ia perlu dilaksana dengan menggunakan pasukan keselamatan untuk menghalang Daesh dan mana-mana pengganas bersenjata daripada memasuki kawasan tersebut dan melakukan pembunuhan beramai-ramai,” kata Rubio dalam satu kenyataan di platform X.

Pertempuran antara pejuang Druze dan puak Badwi bersenjata di kawasan Sweida menarik penglibatan kerajaan Syria, rejim Israel, serta pelbagai puak bersenjata lain.

Rundingan yang diusahakan AS diadakan bagi mengelakkan campur tangan ketenteraan lebih lanjut oleh Israel dengan tentera Syria turut bersetuju berundur dari kawasan konflik.

“AS secara aktif terlibat sepanjang tiga hari kebelakangan ini dengan Israel, Jordan dan pihak berkuasa Syria berhubung perkembangan yang amat membimbangkan di selatan Syria.

“Kami menggesa kerajaan Syria supaya memastikan keadilan ditegakkan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam kekejaman, termasuk dalam kalangan pasukan keselamatan sendiri

“Pertempuran antara kumpulan Druze dan Bedouin dalam kawasan Sweida juga mesti dihentikan serta-merta,” tegas Rubio.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Pertempuran antara kumpulan Druze dan Bedouin yang tercetus sejak 13 Julai lalu meragut 940 nyawa termasuk orang awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN