PKK bakar senjata sebagai simbolik tamatkan pemberontakan

PKK bakar senjata sebagai simbolik tamatkan pemberontakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SULAYMANIYAH: Seramai 30 anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK) membakar senjata mereka di hadapan sebuah gua di utara Iraq semalam, menandakan langkah simbolik tetapi penting ke arah menamatkan pemberontakan bersenjata selama beberapa dekad terhadap Turkiye.

Rakaman majlis tersebut memaparkan anggota PKK, separuh daripadanya wanita, beratur untuk meletakkan senapang AK-47, peluru dan kelengkapan lain ke dalam sebuah kawah besi besar.

Api kemudiannya menyambar senjata yang dihala ke langit, disaksikan pegawai Kurdish, Iraq dan Turkiye.

PKK, yang diharamkan sejak 1984 dan berkonflik lama dengan kerajaan Turkiye, mengumumkan pembubaran pada Mei lalu, melucutkan senjata dan menamatkan perjuangan pemisahan.

Keputusan itu dibuat selepas seruan terbuka oleh pemimpin mereka yang dipenjara sejak lama, Abdullah Ocalan.

Selepas beberapa rundingan damai yang gagal sebelum ini, inisiatif terbaharu itu berpotensi membuka laluan kepada kerajaan Ankara untuk menamatkan konflik yang meragut lebih 40,000 nyawa, melemahkan ekonomi dan menimbulkan perpecahan sosial serta politik di Turkiye serta rantau sekitarnya.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyatakan harapan agar pembubaran PKK akan memperkukuh keselamatan negara dan kestabilan serantau.

“Semoga Allah memberkati usaha kita demi keselamatan negara, kedamaian rakyat dan pembentukan keamanan berkekalan di rantau kita,” katanya di platform X.

Majlis pada Jumaat itu diadakan di pintu masuk Gua Jasana yang terletak di bandar Dukan, kira-kira 60 kilometer barat laut Sulaymaniyah dalam wilayah Kurdistan, utara Iraq.

Menurut saksi Reuters, helikopter dilihat berlegar di ruang udara dan kawasan pergunungan sekitar dikawal ketat oleh pasukan keselamatan Kurdish Iraq.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN