PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjelaskan operasi pembenihan awam (OPA) belum dapat dijalankan di kawasan utara semenanjung Malaysia berikutan cuaca yang tidak sesuai.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pelaksanaan OPA bergantung kepada permohonan daripada pihak yang memerlukan.
“Pihak kami bertindak sebagai penasihat apabila terdapat permohonan untuk menangani masalah kekurangan air seperti yang berlaku di Kerian, Perak,” katanya kepada Utusan Malaysia
Tambahnya, berdasarkan analisis daripada model-model ramalan cuaca semasa, pihaknya menjangkakan keadaan cuaca dijangka mengalami kurang hujan dan kering sehingga penghujung bulan ini berikutan aktiviti siklon tropika yang aktif di barat Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.
“Situasi sebegini akan menyebabkan OPA tidak sesuai untuk dijalankan. Bagaimanapun, sekiranya terdapat perubahan cuaca yang signifikan berdasarkan kemaskini model-model ramalan cuaca, kami akan memaklumkan kepada pihak yang terlibat untuk merancang pelaksanaan OPA jika diperlukan,” katanya.
Tambah Mohd Hisham, faktor yang perlu diambil kira sebelum OPA dijalankan termasuklah dari segi kelembapan udara yang tinggi, kewujudan awan kumulus menara di lokasi yang diperlukan serta tahap kestabilan atmosfera.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan pihaknya akan mengusahakan OPA sebagai langkah mengatasi isu kritikal paras air di Empangan Bukit Merah.
Katanya, langkah pembenihan awan pernah dilaksanakan sebelum ini namun penyelesaian jangka panjang terhadap masalah tersebut memerlukan projek besar berkaitan pemindahan air.
“Dulu pun kita ada buat (pembenihan awan) tapi kita tahu soal takungan air sangat penting sebab itu kita usahakan projek pemindahan air bernilai berbilion ringgit bagi mengatasi masalah air di Lembah Kerian dan selatan Seberang Prai,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perubahan cuaca yang tidak menentu di Malaysia, Mohd Hashim berkata, cuaca panas yang dijangka berlanjutan hingga akhir bulan ini berada dalam kategori biasa dan belum mencapai tahap gelombang haba atau cuaca ekstrem.
Katanya, berdasarkan rekod suhu maksimum terdahulu, cuaca panas ekstrem di negara ini kebiasaannya berlaku antara Mac hingga Jun setiap tahun.
“Dengan bacaan indeks El-Nino Ayunan Selatan (ENSO) yang diramal berada pada nilai neutral hingga hujung tahun ini, maka dijangkakan tidak akan berlaku keadaan cuaca panas ekstrem pada Monsun Barat Daya kali ini,” katanya.
Namun begitu, pihaknya tetap menasihatkan orang awam supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap cuaca panas dan sentiasa mendapatkan maklumat sahih daripada saluran rasmi mereka. – UTUSAN









