PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk berkuat kuasa sehingga 29 Disember ini (Isnin) melibatkan beberapa kawasan di Pahang dan Johor.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, amaran tahap buruk itu membabitkan kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Mersing di Johor.
Katanya, amaran hujan berterusan tahap waspada turut berkuat kuasa sehingga Isnin ini melibatkan seluruh Kelantan dan Terengganu, selain beberapa kawasan di Pahang dan Johor.
“Kawasan terlibat di Pahang ialah Jerantut, Maran dan Bera, manakala di Johor membabitkan Segamat, Kluang dan Kota Tinggi.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi mobil myCuaca serta laman media sosial rasmi jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hisham berkata, sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638. – UTUSAN










