MET Malaysia buat laporan polis dakwa tawaran perolehan melalui WhatsApp, Telegram

MET Malaysia buat laporan polis dakwa tawaran perolehan melalui WhatsApp, Telegram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan sebarang tawaran perolehan melalui media sosial dan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap cubaan penipuan yang menyamar sebagai pegawai jabatan berkenaan.

MET Malaysia berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung cubaan penipuan oleh individu menyamar sebagai pegawai jabatan itu untuk menawarkan urusan perolehan yang sebenarnya tidak wujud.

Katanya, sebarang permohonan atau tawaran perolehan juga tidak pernah dibuat melalui e-mel selain alamat rasmi MET Malaysia. MET Malaysia memandang serius perkara ini.

“Kami menegaskan jabatan tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran berkaitan perolehan kerja, pembekalan mahupun perkhidmatan melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp atau Telegram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MET Malaysia berkata, laporan polis telah dibuat berhubung cubaan penipuan tersebut.

Katanya, orang ramai yang menjadi mangsa atau menerima permohonan mencurigakan menggunakan nama jabatan itu disarankan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Semua urusan perolehan MET Malaysia hanya dilaksanakan melalui Sistem ePerolehan mengikut tatacara dan peraturan perolehan kerajaan yang berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, orang ramai, syarikat dan pembekal dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan sebarang tawaran atau permohonan yang dikaitkan dengan MET Malaysia,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi Unit Perolehan MET Malaysia melalui saluran rasmi jabatan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN