MET Malaysia keluar amaran angin kencang, laut bergelora sehingga Isnin depan

MET Malaysia keluar amaran angin kencang, laut bergelora sehingga Isnin depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di perairan negara sekitar 24 batu nautika bermula Jumaat hingga Isnin depan.

Menurut MET Malaysia, angin kencang barat laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer per jam (kmsj) itu berpotensi mengakibatkan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

“Ia dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan dalam tempoh bermula Jumaat sehingga Isnin depan.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada masa sama, agensi kaji cuaca itu turut mengeluarkan amaran kenaikan paras laut yang dijangka berlaku pada jangka waktu sama sehingga membawa risiko limpahan air laut di kawasan pesisir pantai.

Selain itu, MET Malaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dengan angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj serta ombak melebihi 4.5 meter di kawasan perairan Condore dan barat laut Reef North.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.

Katanya lagi, beberapa kawasan di perairan Tioman, utara Bunguran, timur laut dan barat daya Reef North juga diramalkan berlakunya angin kecnang timur laut berkelajuan antara 50 hingga 60 kmsj.

“Ombak dijangka mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter. Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.

Sementara itu, MET Malaysia juga memaklumkan ramalan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan tenggara Samui, selatan Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×