Pelajar Gaza duduki peperiksaan buat kali pertama sejak perang

Pelajar Gaza duduki peperiksaan buat kali pertama sejak perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ratusan pelajar Palestin di Gaza akhirnya berpeluang menduduki peperiksaan akhir sekolah menengah yang dianjurkan Kementerian Pendidikan wilayah itu, dengan harapan untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Awal bulan ini, kementerian mengumumkan peperiksaan pada Sabtu, merupakan yang pertama sejak Israel melancarkan perang besar-besaran di Gaza pada Oktober 2023.

Kementerian mengesahkan kira-kira 1,500 pelajar berdaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut, yang akan dijalankan secara elektronik menggunakan perisian khas, dengan semua persiapan teknikal dilaksanakan bagi memastikan kelancaran.

Sebahagian pelajar menduduki peperiksaan dalam talian dari rumah, manakala yang lain mengambilnya di lokasi tertentu bergantung kepada kawasan masing-masing, dengan mengambil kira faktor keselamatan berikutan pengeboman Israel berlaku setiap hari.

Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum yang membuat liputan dari Deir el-Balah melaporkan, peperiksaan itu merupakan satu-satunya peluang untuk pelajar Gaza melanjutkan pengajian, mendapatkan biasiswa dan membina masa depan walaupun dalam situasi perang.

“Dalam zon perang tanpa kelas, tanpa buku dan hampir tiada akses internet, pelajar Gaza tetap hadir dan menduduki peperiksaan akhir mereka. Mereka enggan membiarkan perang meragut masa depan,” katanya.

Sejak perang tercetus, sistem pendidikan di Gaza lumpuh sepenuhnya.

Ramai pelajar sepatutnya sudah memulakan pengajian di universiti, terpaksa terhenti di peringkat sekolah menengah ekoran kemusnahan besar-besaran terhadap infrastruktur pendidikan akibat serangan berterusan Israel.

Sebagai langkah alternatif, Kementerian Pendidikan Gaza melancarkan sebuah platform digital yang pertama seumpamanya di wilayah itu bagi membolehkan pelajar sekolah menengah menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian.

“Pelajar memuat turun aplikasi untuk menduduki peperiksaan, namun berdepan pelbagai cabaran seperti akses internet dan peranti.

“Kami mengemukakan isu ini kepada pihak kementerian agar penyelesaiannya dapat dicapai dan peperiksaan berjalan lancar,” kata Morad al-Agha, pengarah peperiksaan di wilayah Gaza Tengah kepada Al Jazeera.

Disebabkan ketiadaan kemudahan asas, ada pelajar yang terpaksa menjawab peperiksaan dari kafe, khemah perlindungan atau mana-mana tempat yang mempunyai capaian internet dan peranti boleh dicas.

Sebelum peperiksaan sebenar, mereka turut menjalani ujian simulasi bagi menguji bukan sahaja pengetahuan, tetapi juga kestabilan sistem peperiksaan itu sendiri.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×