BAGHDAD: Lebih 50 orang maut dalam satu kebakaran dahsyat yang memusnahkan sebuah pusat beli-belah di bandar Kut, timur Iraq, dalam kejadian lewat malam Rabu.
Seorang pegawai di Jabatan Kesihatan wilayah Wasit memaklumkan, jumlah korban kini mencecah 55 orang, dengan pasukan penyelamat giat mencari mangsa hilang.
“Kita mempunyai lebih 50 mangsa yang terkorban, termasuk banyak mayat yang masih belum dikenalpasti,” kata satu sumber perubatan.
Gabenor Wilayah Wasit, Mohammed al-Miyahi sebelum ini memberitahu agensi berita INA, jumlah mangsa mencecah 50 orang, termasuk mangsa korban dan cedera, dalam kebakaran tragik di sebuah pusat beli-belah utama.
Kebakaran itu tercetus lewat malam Rabu dan dilaporkan bermula di tingkat satu sebelum merebak dengan pantas dan memusnahkan keseluruhan Hyper Mall.
Punca kebakaran masih belum diketahui, namun seorang mangsa yang terselamat memberitahu AFP bahawa sebuah penghawa dingin meletup.
Ambulans dilihat masih membawa mangsa ke hospital sehingga pukul 4 pagi, memenuhi wad di sebuah hospital di Kut, kira-kira 160 kilometer di tenggara Baghdad.
Menurut wartawan AFP, pusat beli-belah itu baru sahaja dibuka lima hari lalu, dan beliau turut melaporkan melihat mayat yang rentung di hospital berkenaan.
Kebakaran kini dapat dikawal, namun pasukan bomba masih meneruskan usaha mencari mangsa yang masih hilang.
Mohammed mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari dan memaklumkan pihak berkuasa tempatan akan memfailkan saman terhadap pemilik pusat beli-belah berkenaan serta kontraktor bangunan tersebut.
Siasatan mengenai punca kebakaran sedang dijalankan, dan menurut beliau, dapatan awal dijangka diketahui dalam tempoh 48 jam.
“Tragedi ini merupakan satu kejutan besar dan menuntut penilaian serius terhadap semua langkah keselamatan,” katanya.
Iraq sering berdepan insiden kebakaran dan kemalangan maut, berpunca daripada pengabaian piawaian keselamatan dalam sektor pembinaan serta infrastruktur uzur akibat puluhan tahun dilanda konflik.
Kebakaran juga meningkat pada musim panas apabila suhu panas mencecah hampir 50 darjah Celsius.- AFP











