Kumpulan Druze kuasai semula Sweida, 940 terbunuh sejak 13 Julai

Kumpulan Druze kuasai semula Sweida, 940 terbunuh sejak 13 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Kumpulan pejuang Druze berjaya mengusir kumpulan bersenjata lawan dari bandar Sweida di selatan Syria, selepas kerajaan mengumumkan gencatan senjata hasil perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat (AS) bagi mengelakkan campur tangan ketenteraan lebih lanjut dari Israel.

Bagaimanapun, pertempuran masih berterusan di beberapa kawasan lain di wilayah Sweida, walaupun pejuang Druze menguasai semula bandar mereka selepas beberapa hari bertempur dengan kumpulan Bedouin, yang mendapat sokongan puak bersenjata dari wilayah lain di Syria.

Menurut Balai Cerap Syria untuk Hak Asasi Manusia, yang berpangkalan di Britain, kumpulan pejuang puak itu berundur dari bandar Sweida pada petang Sabtu selepas pejuang Druze melancarkan serangan besar-besaran.

Sejak 13 Julai lalu, lebih 900 orang terbunuh dalam pertempuran di Sweida apabila pertempuran antara puak Druze dan Bedouin mengheret masuk tentera kerajaan, Israel dan puak bersenjata dari kawasan lain di Syria.

Sementara itu, perjanjian gencatan senjata antara kerajaan pimpinan Presiden sementara Ahmed al-Sharaa dan Israel diumumkan oleh Washington.

Duta Amerika Syarikat ke Turkiye, Tom Barrack berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan gencatan senjata hasil rundingan AS, dengan sokongan Ankara yang merupakan penyokong utama Sharaa serta Jordan sebagai negara jiran.

“Kami menyeru puak Druze, Bedouin dan Sunni supaya meletakkan senjata dan bersama membina semula identiti Syria yang bersatu dalam keamanan dan kemakmuran bersama jiran-jiran mereka,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.

Balai Cerap Syria untuk Hak Asasi Manusia melaporkan, sekurang-kurangnya 940 orang terbunuh sejak 13 Julai lalu termasuk 326 pejuang Druze dan 262 orang awam Druze, di mana 165 daripadanya didakwa dibunuh secara kejam tanpa perbicaraan.

Turut terkorban ialah 312 anggota keselamatan kerajaan dan 21 orang Sunni Bedouin, termasuk tiga orang awam yang didakwa dibunuh oleh pejuang Druze manakala 15 lagi anggota tentera kerajaan terbunuh dalam serangan udara Israel.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertempuran tersebut telah menyebabkan sekurang-kurangnya 87,000 orang kehilangan tempat tinggal. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN