GAZA: Israel hanya membenarkan 109 trak bantuan memasuki Gaza pada Selasa, namun kebanyakannya dilarikan susulan kekacauan keselamatan yang semakin memuncak di wilayah itu.
Pejabat Media Kerajaan Gaza dalam kenyataan berkata, kekacauan tersebut berlaku akibat tindakan sistematik dan disengajakan oleh tentera Israel yang bertujuan mensabotaj pengagihan bantuan serta menafikan akses kemanusiaan.
Daripada enam penghantaran bantuan melalui udara, empat daripadanya jatuh ke kawasan berbahaya, termasuk zon di bawah kawalan tentera Israel atau kawasan yang diarahkan pengosongan, kata pejabat itu.
“Mereka yang berada di kawasan tersebut berdepan serangan secara langsung dan risiko dibunuh,” katanya sambil menyifatkan operasi bantuan udara bukan sahaja gagal, malah membahayakan nyawa penduduk.
Pejabat itu juga menuduh Israel sengaja mensabotaj usaha pengagihan bantuan dan menafikan akses kemanusiaan sebagai sebahagian daripada strategi untuk mencetuskan kelaparan serta kekacauan.
Katanya, Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan dan bekalan bahan api setiap hari untuk memenuhi keperluan asas penduduk.
Sejak 2 Mac lalu, rejim Israel menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan, menyekat kemasukan konvoi bantuan serta mengabaikan desakan antarabangsa agar laluan dibuka semula.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 147 penduduk, termasuk 88 kanak-kanak, maut akibat kebuluran sejak Oktober 2023.- ANADOLU










