Intel kecilkan operasi di Israel, beku pembinaan kilang baharu

Intel kecilkan operasi di Israel, beku pembinaan kilang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Gergasi cip Amerika Syarikat (AS), Intel, memulakan langkah pengurangan besar-besaran di Israel dengan memotong ratusan pekerjaan serta mengecilkan operasi di kilang utamanya di Kiryat Gat, selatan negara itu.

Menurut laporan akhbar perniagaan Israel, Globes, tenaga kerja di kilang berkenaan dikurangkan daripada kira-kira 5,000 orang pada 2019 kepada 4,000 menjelang akhir 2023.

Langkah itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula berikutan kemerosotan mendadak dalam pendapatan tahunan, daripada AS$78 bilion (RM330 bilion) pada 2020 kepada AS$53 bilion (RM224 bilion) pada 2023, serta mencatatkan kerugian bersih sebanyak AS$18.7 bilion (RM79.2 bilion) dalam tempoh sama.

Penstrukturan semula Intel termasuk usaha mengautomasikan barisan pengeluaran di kilang Fab 28, yang mengakibatkan pemberhentian kira-kira 200 pekerja pengeluaran serta sekitar 10 peratus kakitangan penyelidikan dan pembangunan.

Fab 28, yang dibuka pada 1996, pernah menjadi model prestasi industri dengan nilai eksport terkumpul mencecah AS$86 bilion (RM364.6 bilion), menyumbang antara tiga hingga 3.5 peratus daripada jumlah eksport tahunan Israel.

Laporan tersebut turut menekankan tekanan yang semakin meningkat terhadap Intel daripada syarikat Taiwan, TSMC, yang kini menguasai pengeluaran cip canggih untuk pelanggan seperti Apple, Nvidia dan Amazon.

Globes melaporkan, syarikat Intel menerima geran kerajaan dianggarkan berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.3 bilion) sepanjang pengoperasiannya di Israel.

Terbaharu, kerajaan Israel meluluskan lagi pakej geran bernilai AS$3.2 bilion (RM13.5 bilion) bagi pembinaan kemudahan baharu, Fab 38, namun projek itu kini dibekukan susulan langkah pengecilan syarikat.

Walaupun pembinaan dihentikan dan pemberhentian besar-besaran berlaku, Kementerian Kewangan Israel serta Pihak Berkuasa Pelaburan tidak mengambil sebarang tindakan penalti terhadap Intel, memandangkan pembiayaan masih tertakluk kepada penanda aras yang dipersetujui lebih awal.

Penyusutan operasi Intel turut berlaku seiring kebangkitan pesaing dari AS, Nvidia, yang baru-baru ini mengumumkan rancangan pelaburan berjumlah AS$540 juta (RM2.2 bilion) bagi membina pusat pembangunan utama di utara Israel, dengan matlamat menggaji 5,000 kakitangan.- ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN