Indonesia perluas operasi pencarian mangsa feri karam

Indonesia perluas operasi pencarian mangsa feri karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GILIMANUK: Pasukan penyelamat Indonesia hari ini memperluaskan operasi pencarian 30 lagi mangsa hilang dalam kejadian feri karam menuju ke pulau peranginan Bali.

Setakat ini, kejadian yang berpunca daripada cuaca buruk itu mengorbankan sekurang-kurangnya enam nyawa, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Feri KMP Tunu Pratama Jaya, yang membawa sekurang-kurangnya 65 penumpang dan anak kapal, karam lewat Rabu malam ketika melakukan perjalanan merentasi jarak lima kilometer dari pelabuhan Ketapang di timur Pulau Jawa ke pelabuhan Gilimanuk di Bali.

Menurut saksi dan pegawai, feri itu terbalik dan karam akibat cuaca buruk, hanya 25 minit selepas memulakan perjalanan.

Sehingga pagi tadi, sebanyak 29 orang berjaya diselamatkan, manakala 30 lagi masih hilang.

Pegawai operasi agensi penyelamat dan pencarian nasional, Ribut Eko Suyatno berkata, pasukan penyelamat menggerakkan aset laut dan udara bagi memperluaskan operasi mencari dan menyelamat di perairan antara Jawa Timur dan Bali.

“Unit penyelamat darat diarahkan untuk memantau pantai Ketapang dari utara ke selatan, begitu juga di Gilimanuk,” katanya.

Sementara itu, 306 anggota penyelamat dikerahkan, menurut agensi penyelamat dan pencarian Surabaya.

Semalam, pasukan penyelamat menggunakan bot kembung, kapal penyelamat lebih besar dan helikopter, dengan penyertaan anggota tentera laut serta polis.

Sekurang-kurangnya empat mangsa terselamat ditemui semalam setelah menyelamatkan diri dengan memanjat ke bot penyelamat feri itu.

Menurut manifes feri, terdapat 53 penumpang dan 12 anak kapal, namun di Indonesia, jumlah sebenar penumpang sering berbeza daripada dokumen rasmi.

Laluan feri dari Ketapang ke Gilimanuk, yang mengambil masa kira-kira satu jam, merupakan salah satu laluan tersibuk di Indonesia, sering digunakan oleh pelancong dan pengguna kenderaan antara pulau.

Kemalangan maritim kerap berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan dengan sekitar 17,000 pulau, sebahagiannya disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar dan kadangkala akibat cuaca buruk.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN