LONDON: Tentera Israel didakwa melepaskan tembakan ke arah kanak-kanak Palestin di pusat agihan bantuan di Gaza, dengan menyasarkan bahagian tubuh yang berbeza mengikut hari tertentu.
Perkara itu didedahkan seorang doktor dari Britain, Prof. Nick Maynard, yang bertugas di Hospital Nasser di Khan Younis dalam satu temubual bersama BBC Radio 4.
Menurut Maynard, beliau dan rakan sekerjanya mengesan ‘pola kecederaan luar biasa’ dalam kalangan kanak-kanak yang dirawat.
“Pada satu hari, kesemua mangsa mengalami luka tembakan di bahagian abdomen, manakala pada hari lain pula semua cedera di kepala, leher, tangan atau kaki,” katanya dalam program Today di BBC Radio 4.
Pakar bedah gastrointestinal itu turut mendakwa, ada hari tertentu tentera menyasarkan bahagian sulit kanak-kanak lelaki.
“Ia seolah-olah seperti satu permainan kejam, hari ini mereka tembak kepala, esok leher dan lusa testis,” katanya.
Maynard berkata, mangsa di pusat agihan bantuan dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang digelar sebagai perangkap maut, kebanyakannya merupakan remaja lelaki.
“Kebanyakan kes berlaku di pusat pengedaran tentera, di mana orang awam yang kelaparan datang untuk mendapatkan makanan, tetapi kemudian dilaporkan menjadi sasaran tembakan tentera Israel atau dron.
“Seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang saya bedah meninggal dunia di atas meja bedah akibat kecederaan, selepas ditembak di bahagian dada,” katanya.
39 LAGI TERBUNUH DI GHF
Pusat pengedaran GHF yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel dikendalikan oleh kontraktor swasta serta pasukan tentera rejim.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, sekurang-kurangnya 875 rakyat Palestin yang datang di pusat agihan bantuan untuk mendapatkan makanan ditembak mati sejak Mei lalu.
Maynard berkata, tahap kekurangan zat makanan yang dialami pesakit muda menjejaskan keupayaan mereka untuk pulih daripada kecederaan.
“Pemulihan yang kami lakukan gagal bertahan, pesakit mengalami jangkitan teruk dan akhirnya meninggal dunia.
“Saya tidak pernah melihat begitu ramai pesakit mati hanya kerana mereka tidak mendapat makanan yang mencukupi untuk pulih,” katanya.
BBC turut melaporkan beberapa petugas perubatan lain di Gaza tengah dan selatan juga melihat corak kecederaan yang sama terhadap mangsa di pusat GHF.
Kelmarin, Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan 39 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera akibat tembakan Israel di pusat agihan bantuan itu.
Kematian orang awam yang sedang menunggu bantuan makanan dalam kelompok besar di sekitar pusat agihan kini menjadi kejadian biasa di Gaza, dengan pihak berkuasa kerap menyalahkan tentera Israel.
Bagaimanapun, GHF menuduh kumpulan Hamas mencetuskan kekacauan dan melepaskan tembakan ke arah orang awam.
Jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmud Bassal berkata, insiden maut itu berlaku berhampiran pusat agihan di Khan Younis dan satu lagi di Rafah, di selatan Gaza serta mendakwa kematian berpunca daripada tembakan Israel.
KERAJAAN UK DISAMAN
Sementara itu, kerajaan Britain berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa gagal melaksanakan pemindahan perubatan terhadap kanak-kanak Palestin yang kritikal di Gaza.
Menurut laporan The Guardian, kes itu difailkan oleh firma guaman Leigh Day bagi pihak tiga kanak-kanak.
Mereka mendakwa, menteri UK cuai dalam mempertimbangkan kekurangan kemudahan perubatan di Gaza, di mana ribuan penduduk memerlukan rawatan untuk menyelamatkan nyawa.
Setakat ini, kerajaan UK menyatakan pihaknya menyokong penjagaan kesihatan untuk lebih setengah juta penduduk di wilayah Palestin melalui hospital lapangan dan bekalan perubatan, serta memudahkan kemasukan beberapa kanak-kanak ke Britain melalui inisiatif pembiayaan swasta.
Namun, peguam Leigh Day yang mengetuai saman, Carolin Ott, berpendapat langkah sedia ada itu tidak mencukupi untuk menangani krisis kemanusiaan yang mendesak.
Kes itu difailkan terhadap Pejabat Luar Negeri dan Pejabat Dalam Negeri UK, melibatkan tiga kanak-kanak berusia dua serta lima tahun, yang memerlukan rawatan perubatan segera di luar Gaza.
Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dikenali sebagai ‘Child Y’ mengalami kecacatan arteriovenous di pipi yang menyebabkan pendarahan setiap hari dan kini dalam keadaan kritikal.
Dua beradik lain, dikenali sebagai ‘Child S’, menghidap penyakit buah pinggang kronik sehingga menyebabkan kegagalan organ itu, dengan seorang daripada mereka tidak lagi boleh berjalan.










