BESUT: Isi tebal dan manis membuatkan durian kampung dari Hulu Besut, di sini mendapat permintaan tinggi dan setanding dengan buah durian kacukan.
Keistimewaannya itu menyebabkan durian kampung terbabit mempunyai peminat tersendiri dan menjadi buruan setiap kali musim buah-buahan.
Seorang pemborong buah, Kamaruddin Che Umar, 67, berkata, peminat buah durian Hulu Besut bukan hanya dari Terengganu malah mendapat permintaan yang tinggi di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Isinya tebal, lemak dan manis termasuk ulasnya berwarna kuning membuatkan penggemar durian menantikannya. Setiap tahun durian di Hulu Besut dijual di luar Terengganu dan menjadi antara raja buah yang sering ditunggu-tunggu bagi mereka yang pernah merasai sendiri keenakannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Kawah, Hulu Besut.
Kamaruddin berkata, sebaliknya pengeluaran buah durian pada tahun ini menurun berlipat kali ganda berbanding tahun-tahun sebelum ini yang mana purata buah dibeli daripada pekebun menurun sehingga empat tan metrik.
Menurutnya, bagi musim ini, purata pembelian yang diperoleh daripada pekebun hanya sekitar 100 kilogram buah sehari dan dianggarkan empat tan metrik sepanjang 40 hari tempoh tuaian durian.
Berbanding tahun lalu, pengeluaran buah itu mencapai satu tan metrik sehari dan lebih 30 tan metrik dalam tempoh yang sama bagi tahun ini.
“Tahun ini durian kurang menjadi ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan bunga-bunganya luruh sebelum sempat menjadi buah. Pokok durian sangat sensitif apabila hujan berterusan yang menyebabkan bunganya luruh meskipun pada awalnya jumlah bunga yang keluar sangat banyak,” katanya.
Sementara itu, seorang pekebun, Mohd. Daud. Abdullah, 60, berkata, musim durian membantunya memperoleh pendapatan sampingan dengan mengusahakan kebun durian seluas 0.8 hektar.
“Di kebun saya mempunyai 96 batang pokok durian dan setiap hari sejak awal musim awal Jun lalu. saya mampu meraih pendapatan kira-kira RM200. Durian Hulu Besut ini hanya dituai dalam tempoh 40 hari iaitu bermula awal Jun dan kini ia telah sampai ke hujung musim,” katanya.-UTUSAN










