GENEVA: Agensi Bantuan Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) mendedahkan kakitangannya, termasuk doktor dan petugas kemanusiaan, pengsan ketika bertugas di Gaza akibat kelaparan serta keletihan.
Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, pihaknya menerima puluhan mesej kecemasan daripada kakitangan yang menggambarkan keadaan kritikal di wilayah itu, yang teruk terjejas sejak Israel melancarkan perang.
“Tiada siapa yang terkecuali. Doktor, jururawat, wartawan dan pekerja kemanusiaan kini sedang kelaparan.
“Ramai yang pengsan kerana lapar dan letih semasa melaporkan kekejaman atau cuba mengurangkan penderitaan penduduk,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan semasa sidang media di Geneva, semalam.
Beliau turut mengkritik skim pengagihan bantuan, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Skim pengagihan bantuan yang dikenali sebagai GHF itu ibarat perangkap maut yang sadis. Penembak tepat melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai seolah-olah mereka diberi lesen untuk membunuh,” katanya.
Skim GHF menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta dari AS, dan sebahagian besarnya mengetepikan sistem agihan bantuan yang diketuai PBB.
Menurut anggaran UNRWA, lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan sejak akhir Mei lalu, kata Lazzarini.
GHF dalam satu kenyataan kepada Reuters mendakwa PBB mempunyai bekalan bantuan mencukupi di Gaza, namun agensi itu enggan mengagihkannya.
Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Jen Laerke, turut menegaskan dakwaan kononnya PBB menghentikan operasi adalah sama sekali tidak benar.
GHF turut mendakwa serangan paling berdarah terhadap agihan bantuan di Gaza mempunyai kaitan dengan konvoi PBB.- AGENSI










