BERLIN: Seorang doktor di Jerman dihadapkan ke mahkamah pada Isnin atas tuduhan membunuh 15 pesakit menggunakan kaedah suntikan, dalam kes yang disifatkan penyiasat mungkin permulaan kepada jenayah lebih besar.
Pakar penjagaan paliatif, Johanned M., 40, dituduh membunuh 12 wanita dan tiga lelaki antara September 2021 hingga Julai 2024 ketika bertugas di Berlin.
Dia didakwa menyuntik mangsa berusia antara 25 hingga 94 tahun dengan campuran ubat penenang yang mematikan, dalam beberapa kes turut membakar rumah mangsa bagi menutup jenayahnya.
Menurut akhbar Die Zeit, seorang rakan sekerja mula curiga dengan Johannes pada Julai lalu, selepas menyedari ramai pesakit di bawah jagaan doktor itu mati dalam kebakaran.
Dia ditahan pada Ogos lalu, dengan pihak pendakwa pada mulanya mengaitkan dengan empat kematian.
Namun, siasatan lanjut mendedahkan banyak lagi kes kematian mencurigakan, dan pada April lalu, pendakwa raya mendakwa Johannes atas 15 pertuduhan membunuh.
Menurut jurucakap pendakwa raya, sebanyak 96 kes tambahan masih dalam siasatan, termasuk kematian ibu mentua Johannes.
Wanita yang menghidap kanser itu dilaporkan meninggal dunia secara misteri pada hujung minggu yang sama ketika Johannes dan isteri melawatnya di Poland pada awal tahun lalu.
Suspek yang digelar ‘doktor kematian’ oleh media Jerman itu dilaporkan pernah menjalani latihan sebagai pakar radiologi dan pengamal am sebelum meneruskan kepakaran dalam penjagaan paliatif.
Pendakwa raya berkata, dalam kesemua 15 kes, Johannes memberikan anestetik dan bahan pelali otot kepada pesakitnya tanpa pengetahuan atau keizinan mereka.
Bahan pelali tersebut melumpuhkan otot pernafasan, menyebabkan kegagalan pernafasan dan kematian dalam beberapa minit.
Dalam lima kes, Johannes didakwa membakar apartmen mangsa selepas menyuntik mereka, selain didakwa membunuh dua pesakit pada hari yang sama.- AFP









